KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan bahawa beliau tidak mengetahui mengenai dakwaan wujud isu dalaman termasuk politik dalam skuad bola sepak kebangsaan.
Hannah menjelaskan, ia kerana Kementerian Belia dan Sukan tidak masuk campur dalam pengurusan skuad kebangsaan mahu pun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Beliau bagaimanapun berkata, seandainya terdapat isu dalaman yang tidak boleh diselesaikan, perkara itu boleh dibawa kepada Jawatankuasa Pertikaian Sukan.
“Saya tidak tahu mengenai politik dalaman kerana saya tak masuk campur pentadbiran FAM. Saya mengambil pendirian bukan sahaja untuk bola sepak, tetapi untuk semua sukan.
Imigresen FC tak dibenar daftar Stadium Darul Aman sebagai laman sendiri
“Persatuan sukan dan politik atau pun pentadbiran masing-masing, memang Kementerian Belia dan Sukan tak masuk campur.
“Sekiranya ada apa-apa pertikaian dan selepas mereka selesaikan pertikaian dalaman itu, jika masih ada, mereka boleh bawa ke Jawatankuasa Pertikaian Sukan.
“Namun, apa yang jurulatih (Peter Cklamovski) cakap, saya tidak tahu, mungkin boleh tanya Presiden FAM,” katanya ketika ditemui pada Persidangan ASEAN Bagi Orang Kurang Upaya (OKU) Dalam Sukan 2025, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Cklamovski mendakwa terdapat isu dalaman termasuk politik dan halangan tertentu yang terpaksa dihadapi pasukan kebangsaan dalam usaha membawa skuad itu ke tahap lebih baik di peringkat antarabangsa.
Dakwaan itu dibuat beliau selepas perlawanan Malaysia menentang Vietnam dalam aksi Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 10 Jun lalu yang menyaksikan Harimau Malaya menang 4-0.
sumber:- BH
Pengendali dari Australia itu turut berharap semua pihak dapat bersatu untuk memastikan revolusi yang dicetuskan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail terus bergerak ke depan, sekali gus membanggakan seluruh rakyat Malaysia.