sukan

Saya tidak pernah bayangkan bermain untuk Malaysia — Facundo Garces

KUALA LUMPUR: Pemain berdarah warisan baharu Harimau Malaya, Facundo Garces mengesahkan dia memiliki darah Malaysia menerusi pertalian dengan moyangnya.

Menerusi satu temuramah bersama portal Sepanyol, El Correo, Garces mengakui tidak pernah mengimpikan untuk beraksi bersama Malaysia menerusi moyangnya.

“Saya tidak pernah bayangkan bermain untuk Malaysia kerana moyang saya, saya memang tahu dari mana asal beliau tapi tidak sangka peluang ini boleh datang,” katanya.

Sebagai rekod, Garces melakar debut bersama skuad kebangsaan pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lalu.

Dia membantu skuad bimbingan Peter Cklamovksi itu menamatkan perlawanan tanpa dibolosi sebarang gol dengan keputusan 4-0.

Malah, Garces berbangga dapat menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan dan merasai sendiri sokongan padu penyokong.

“Mereka menyambut saya dengan mesra, semua orang sangat baik dan membantu, saya rasa terhormat dapat menjadi sebahagian daripada pasukan ini,” katanya.