sukan

“Saya tidak pernah menyesal dan membuat pilihan yang salah”

Bekas penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Izham Tarmizi Roslan, antara 11 pemain yang dilepaskan kelab itu selain Farizal Marlias, Safiq Rahim, Ramadhan Saifullah, Jordi Amat, Jese Rodriguez, Murillo Henrique, Jonathan Viera, Alvaro Gonzalez, Roque Mesa dan Anselmo de Moraes.

Namun, apa yang diperoleh selaku bintang Harimau Selatan itu adalah satu nilai yang sangat besar dan cukup bermakna buat dirinya.

Pemain berusia 34 tahun itu telah membuat 44 penampilan dari 2014 hingga 2025 sepanjang bersama juara 11 kali Liga Super berturut-turut itu.

Untuk rekod, dia berjaya membawa JDT menjuarai Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada tahun 2015 selepas menewaskan pasukan dari Tajikistan, Istiklol, 1-0 dalam pentas akhir.

Meninjau satu video yang tular di TikTok, bekas posisi nombor satu Harimau Malaya itu juga mendedahkan tidak pernah menyesal menghabiskan sebahagian besar kariernya bersama kelab yang mendominasi Liga Malaysia (Liga-M) itu.

Ini kerana, pengalaman yang dijanjikan cukup besar dan berbeza, ilmu dan pendedahan yang diterima daripada kalangan pemain ternama tempatan mahupun dunia serta barisan kejurulatihan yang handal mengubah kehidupan Izham Tarmizi jauh lebih cemerlang.

Dia turut tidak bersetuju dengan pandangan peminat bola sepak yang melemparkan sentimen negatif terhadap skuad kendalian Xisco Munoz itu.

Dalam erti kata lain, kepercayaan dan menonjolkan kualiti adalah perkara yang dituntut jika mahu merebut kesebelasan utama pasukan dan berjuang untuk minit permainan.

“Awak masuk JDT, awak kena berjuang dapatkan tempat sebagai pemain utama.

“Walaupun nama awak besar di kelab luar, awak silap jika awak sertai JDT awak rasa akan dapat bermain,” katanya.

Meskipun bersaing dengan beberapa nama besar, Izham tetap dengan pendiriannya bahawa JDT adalah pasukan terbaik yang menjaga kebajikan pemain.

Izham menolak sekeras-kerasnya pandangan terhadap pembaziran bakat pemain yang tidak mempunyai peluang.

“Saya tidak pernah terfikir tentang perkara negatif.

“Itu adalah lumrah bola sepak, mana-mana sukan sekalipun.

“Saya tidak pernah menyesal dan membuat pilihan yang salah,” tambahnya.

Ketika ini, Izham sedang menumpukan tumpuan ke arah bidang perniagaan ebuah jenama barangan sukan yang memfokuskan kepada penghasilan dan pemasaran sarung tangan penjaga gol berkualiti tinggi.

sumber:- stadium astro

Dalam masa sama, dia juga menjalani Kursus Kejurulatihan Diploma C Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di bawah anjuran Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ).