KUALA TERENGGANU: Selepas terlepas peluang untuk melakar kemenangan ketika berdepan PDRM FC sebelum ini, misi tiga mata menjadi impian Terengganu FC (TFC) malam esok.
Skuad Penyu yang kini dibimbing penolong jurulatih, Badrul Afzan Razali bakal berkunjung ke Stadium Darul Aman untuk berdepan dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam saingan Liga Super.
Jelas Badrul Afzan, beliau tidak rela ‘gigit jari’ lagi dalam penampilan keduanya sebagai ketua jurulatih bersama pembantunya, Hairuddin Omar selepas terikat 1-1 pada aksi pertama menentang skuad The Corp di tempat sendiri dua minggu lalu.
Pada masa sama jelas Badrul Afzan, beliau juga mahu menamatkan kemarau tanpa kemenangan dalam enam perlawanan berturut-turut sebelum ini termasuk dalam saingan Kejuaraan Kelab Asia Tenggara biarpun sedar bukan tugas mudah buat anak buah berdepan skuad Sang Kenari.
“Persiapan untuk memburu tiga mata berjalan dengan lancar terutama semua pemain bebas daripada sebarang penggantungan perlawanan.
“Bagaimanapun seorang pemain import, Nelson Bonilla mengadu mengalami kesakitan selepas pulang daripada tugasan perlawanan antarabangsa bersama pasukan negaranya baru-baru ini.
“Namun begitu kecederaan yang dialami penyerang kelahiran El Salvador itu tidak begitu membimbangkan, tapi kita akan menilai tahap kesihatannya pada hari ini sama ada boleh disenaraikan ataupun sebaliknya.
“Jika pemain itu tidak dapat diturunkan, kita akan melakukan rombakan kecil dalam kesebelasan utama bagi memastikan misi kita berjaya,” ujar Badrul ketika dihubungi.
Ketika ditanya mengenai penyokong pasukan lawan yang didakwa akan memboikot perlawanan itu susulan masalah dalaman yang dihadapi pasukan mereka, Badrul Afzan enggan mengulas lebih lanjut.
sumber:-BH
“Kami hanya fokus kepada pasukan sahaja, begitu juga dengan pemain yang berazam untuk berazam untuk menambah tiga mata bagi mengekalkan kedudukan terkini di tempat yang ketiga liga,” katanya.