KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei percaya dia akan lebih bersedia bagi mengharungi aksi terakhir Kumpulan H, esok selepas sedikit bergelut ketika mencatat kemenangan pertama di Sukan Olimpik Paris, semalam.
Bekas juara remaja dunia itu dijadual bertemu pemain ranking ke-17 dunia dari Korea Selatan, Kim Ga Eun dengan dia wajib menang untuk meneruskan kemaraan kerana hanya juara kumpulan bagi acara perseorangan layak ke pusingan 16 terakhir.
“Saya memang menantikan perlawanan itu selepas kali terakhir saya bertemunya adalah dua tahun lalu. Saya tidak rugi apa-apa, hanya mahu menikmati perlawanan itu nanti,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Atas kertas, Ga Eun memiliki sedikit kelebihan apabila menang dua kali daripada tiga pertemuan menentang Jin Wei sebelum termasuk pertemuan terakhir di Terbuka Korea 2022.
Semalam, Jin Wei yang tampil kali pertama di pentas Olimpik bergelut di set pertama sebelum mencatat kemenangan ke atas juara Sukan Afrika dua kali, Johanita Scholtz 23-21, 21-11 di Porte de la Chapelle Arena.
Tanpa ditemani jurulatihnya, Nova Armada berikutan kuota kad akreditasi yang terhad dikeluarkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jin Wei dibantu Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky dan jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen.
Jin Wei mengakui dia agak gugup beraksi dalam perlawanan pertamanya di pentas Olimpik hingga menjejaskan prestasinya pada set pertama.
“Saya fikir keterujaan membuatkan saya gugup, tangan terasa kaku biarpun tidak menggeletar.
sumber:-BH
“Sejujurnya saya fikir saya akan tewas di set pertama dan sudah bersedia untuk menghadapi set kedua. Namun, nasib menyebelahi saya dan berjaya memenangi set pertama seterusnya set kedua,” katanya.