sukan

“Saya tidak sangka dapat jaringkan gol ’emas’ untuk KDA FC” – Hasbullah

ALOR SETAR: Pemain tengah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Hasbullah Abu Bakar tidak sangka kepercayaan yang diberikan ketua jurulatih, Nafuzi Zain untuk turun sebagai pemain gantian pada aksi suku akhir pertama Piala FA memberi rezeki berganda buatnya dan pasukan.

Satu gol yang dihasilkannya pada minit ke-73 pada aksi menentang Penang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang Jumaat lalu menyaksikan Sang Kenari menang 1-0 sekali gus pulang dengan membawa bekalan berharga buat pasukan dalam misi penting melayakkan diri ke separuh akhir Piala FA musim ini.

“Saya tidak sangka dapat jaringkan gol pertama saya buat Kedah selepas diberi kepercayaan beraksi pada babak kedua kerana ada pemain lain yang lebih berupaya melakukan jaringan.

“Tetapi saya anggap ia satu rezeki selepas diberi kepercayaan oleh jurulatih untuk memperkuatkan pasukan dan memburu gol ketika itu,” katanya.

Hasbullah yang pernah beraksi bersama Melaka United dan Negeri Sembilan berkata beliau mahu terus meningkatkan keupayaannya sebagai pemain tengah dengan dorongan dan kepercayaan diberikan Nafuzi.

“Namun masih banyak lagi aspek yang perlu dipertingkatkan dalam kualiti permainan dan saya mahu terus fokus.

sumber:-BH

“Saya harap jaringan itu akan membangkitkan lagi semangat saya dan pasukan untuk berdepan Penang pada saingan suku akhir kedua di Stadium Darul Aman, 5 Julai ini,” katanya.