KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli bertekad bangkit pada Grand Prix (GP) San Marino selepas menamatkan saingan GP Aragon di tempat ke-12, semalam.
Danish mengakui masih terdapat beberapa aspek pada jenteranya yang perlu diperbaiki, terutama dari segi tetapan selepas kesukaran mendapatkan konfigurasi terbaik menjejaskan usahanya untuk mencabar kelompok 10 terbaik di Litar MotorLand Aragon.
Pelumba EON Credit-MT Helmets-MSI itu bagaimanapun percaya mampu menampilkan tunggangan lebih baik di San Marino yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 13 September ini.
“Saya percaya saya mampu untuk memberikan yang terbaik pada perlumbaan akan datang. Saya harap rakyat Malaysia terus mendoakan saya supaya dapat menampilkan persembahan baik selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perlumbaan di Aragon semalam, Hakim Danish menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 untuk mengutip empat mata berharga.
Keputusan itu menyaksikan dirinya kekal berada di kedudukan kelapan dalam carta keseluruhan Moto3 dengan 90 mata.
Mengulas lanjut, Hakim Danish berkata, perlumbaan di Aragon cukup mencabar apabila kelompok hadapan memiliki kelajuan lebih baik, namun pada masa sama dia semakin selesa dengan jenteranya.
“Hari ini (semalam) secara keseluruhannya sangat mencabar. Pada peringkat awal perlumbaan, saya cuba memberikan yang terbaik dengan memecut jentera sebaik mungkin untuk berada dalam kelompok hadapan.
“Bagaimanapun, kelompok hadapan memiliki kelajuan yang lebih baik. Saya semakin selesa dengan jentera, tetapi masih belum sepenuhnya kerana berdepan kesukaran dari segi tetapan dan ia perlu ditambah baik,” katanya.