sukan

Sebuah kelab Liga Malaysia serius mahu ikat Holgado

Kelab Brunei, DPMM FC benar-benar serius mahu membawa Rodrigo Holgado untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Menerusi perkongsian di laman sesawang mereka, kelmarin, DPMM memaklumkan bahawa bekas penyerang Harimau Malaya itu semakin hampir untuk menyertai kelab berkenaan.

Malah, DPMM turut berkongsi latar belakang dan statistik penyerang kelahiran Argentina berusia 31 tahun itu.

“Rodrigo Holgado semakin hampir menandatangani kontrak dengan DPMM. Pada musim 2024/2025, Rodrigo beraksi bersama America de Cali dalam saingan Primera A Colombia sebelum berpindah ke Coquimbo dalam Liga Primera Chile.

“Penyerang kelahiran Argentina itu pernah muncul penjaring terbanyak Coquimbo dengan meledak 18 gol pada musim 2018. Pada musim 2024/2025 pula, dia menjaringkan 18 gol untuk America de Cali,” menurut perkongsian DPMM itu.

Pada awal bulan lalu, DPMM dilaporkan menyatakan minat untuk menandatangani Holgado, sekali gus mencetuskan potensi penyerang itu untuk beraksi dalam kancah bola sepak tempatan.

Sebagai rekod, Holgado sebelum ini menjadi antara tujuh ‘pemain Harimau Malaya’ yang digantung 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Holgado bersama Facundo Garces, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel dikenakan penggantungan itu susulan kes pemalsuan dokumen berkaitan status warisan mereka.

Dia sebelum ini turut mencuri tumpuan apabila berkongsi gambar memakai jersi Malaysia ketika sedang melakukan latihan kecergasan di dalam sebuah gim bagi meningkatkan tahap kecergasan sebelum kembali beraksi selepas penggantungannya berakhir hujung bulan ini.