KUALA LUMPUR: Kecaman dan kritikan diterima pasukan bawah 16 (B-16) tahun negara selepas dibelasah Croatia 11-0 dalam aksi persahabatan sebelum ini tidak seharusnya menjadi halangan untuk skuad muda negara bangkit menjelang kempen kelayakan Piala Asia B-17 2026.
Sebaliknya, skuad ‘anak’ Harimau Malaya perlu menggunakan masa yang ada bagi memperbaiki segala kelemahan sebelum berjuang dalam Kumpulan C kempen kelayakan yang akan berlangsung di Vietnam pada 20 hingga 30 November ini.
Sejarah 2022 mungkin boleh dijadikan contoh terbaik buat skuad kendalian Javier Jorda Ribera yang mana pasukan B-16 ketika itu dibimbing Osmera Omaro turut mengalami situasi seakan sama apabila dikritik hebat susulan keputusan buruk dalam aksi persahabatan dan tersingkir awal dari saingan Piala AFF.
Namun, barisan pemain muda negara berjaya bangkit dalam kempen kelayakan Piala Asia B-17 2023 dengan menjuarai saingan Kumpulan B termasuk membelasah tuan rumah Indonesia 5-1 untuk meraih tiket ke pusingan akhir.
Bekas pengurus skuad B-16, Datuk Christopher Raj menegaskan bahawa kekalahan dalam perlawanan persahabatan tidak bermaksud pasukan negara juga akan gagal dalam kempen kelayakan.
Beliau yang bertindak sebagai pengurus pasukan B-16 pada 2022 menjelaskan pasukan tidak perlu terlalu memikirkan mengenai kecaman yang diterima, sebaliknya fokus untuk menguatkan mental dan meningkatkan lagi tahap permainan pada kempen kelayakan nanti.
“Ketika melakukan persiapan untuk kempen kelayakan Piala Asia B-17 2023, kita juga kalah dalam perlawanan persahabatan dan gagal ke separuh akhir Piala AFF. Kami juga terima macam-macam kecaman ketika itu.
“Namun, dengan kepercayaan dan persediaan yang dilakukan, kami meraih kejayaan di Indonesia yang mana kami kalahkan Indonesia 5-1 seterusnya layak ke Piala Asia. Jadi, kadang-kadang perlawanan persahabatan tidak memberikan maksud sebenar dan mungkin ia digunakan jurulatih untuk cuba formasi atau pemain.
“Jangan risau dengan kritikan, teruskan perjuangan dan ini juga proses pembelajaran kepada pemain muda. Saya memang positif yang pemain akan bangkit dan mereka mampu membuat kejutan di Vietnam nanti,” katanya kepada BH Sukan.
Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama tuan rumah Vietnam, Singapura, Hong Kong, Kepulauan Mariana Utara dan Macau dengan hanya juara kumpulan akan layak ke Piala Asia B-17 2026 di Arab Saudi.
Selain itu, Christopher menjelaskan bahawa barisan pemain B-16 harus diberikan motivasi yang secukupnya dalam memastikan keyakinan dan semangat mereka untuk berjuang di atas padang berada pada tahap tertinggi.
“Pada 2022, saya sebagai pengurus pasukan sediakan hampir 15 hingga 20 video motivasi untuk pemain. Video itu dimainkan setiap kali ketika sarapan, makan tengah hari dan makan malam untuk memastikan mereka melupakan kekalahan.
“Kita juga tunjukkan video ketika mereka menang untuk menaikkan motivasi. Selepas itu kita ada sesi motivasi lain dengan pemain, kita bawa pakar psikologi dan sebagainya,” katanya.