KUALA LUMPUR: Bekas pengendali skuad Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan perancangan untuk mengubah nasib pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) negara tidak boleh ditangguh lagi dan ia harus dimulakan dari sekarang.
Kim Swee menjelaskan langkah proaktif perlu dilakukan bagi memastikan pasukan muda negara tidak terus dipintas negara lain seperti Filipina, Kemboja dan Laos yang kini sudah semakin meningkat.
Beliau berpandangan, program seperti Harimau Muda sebagai langkah terbaik untuk membina semula skuad B-23 yang berkualiti tinggi dan ia sudah terbukti apabila skuad itu meraih pelbagai kejayaan termasuk memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan 2011 ketika program berkenaan dilaksanakan pada 2007 hingga 2015.
Malah, bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan itu menegaskan Harimau Muda menjadi platform dalam meningkatkan tahap permainan pemain muda, sekali gus turut menyumbang kepada perkembangan positif dengan melahirkan pemain pelapis masa depan buat Harimau Malaya.
“Zaman ketika ada Harimau Muda dulu, pemain muda lebih kompetitif. Sekarang platform pemain muda kita untuk tahap yang kompetitif hanya Liga Super. Kalau kita lihat, musim lalu kita ada Piala MFL, itu pun berapa kerat saja pemain muda terbaik yang keluar dari situ.
“Dekat Liga Super pun ramai (pemain muda), tapi minit permainan tiada. Tidak salah kalau tubuhkan balik program seperti Harimau Muda walaupun ia tidak dilakukan negara lain.
“Sejarah sudah membuktikan, bukan saya kata perkara ini hanya kemungkinan, tapi sudah dibuktikan.
“Saya pernah katakan jangan pandang rendah Filipina, Myanmar, Kemboja dan Laos. Lihatlah dalam masa beberapa tahun ini apa sudah berlaku? Sudah berapa kali kita kalah dengan Filipina, ini bukan kata nak menuding jari tapi kita kena tahu bagaimana mereka boleh meningkat.
“Jadi bagi saya sudah tiba masanya kita fikirkan semula untuk tubuhkan Harimau Muda. Negara lain tak buat program seperti ini, tapi mereka ada pembangunan akar umbi yang bagus peringkat kelab. Namun kita, mana pembangunan yang bagus?
“Bukan saya nak bodek JDT, tapi JDT jalankan program yang betul dan Selangor pun ada. Namun, negeri lain mana? Tak nampak. Kita nak tunggu sampai bila? Sekarang kalah dengan Filipina, tak mustahil selepas ini kalah kepada Kemboja dan Laos. Jangan sampai kalah dengan Brunei,” katanya.
Cadangan supaya program Harimau Muda diwujudkan kembali muncul selepas kegagalan skuad B-23 negara di pentas Piala ASEAN B-23, baru-baru ini apabila anak buah Nafuzi Zain terkandas di peringkat kumpulan apabila tewas kepada Filipina (0-2), menang ke atas Brunei (7-1) dan seri dengan Indonesia (0-0).
Situasi itu mencetuskan kebimbangan mengenai keupayaan skuad muda negara untuk menghadapi kejohanan akan datang yang lebih mencabar termasuk kelayakan Piala Asia B-23 2026 dan Sukan SEA pada September dan Disember ini.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub menjelaskan langkah mewujudkan semula program Harimau Muda bergantung kepada bajet badan induk itu.
Selain itu, Kim Swee yang menjadi jurulatih Harimau Muda paling lama dari 2009 hingga 2014 mengakui program itu memberi banyak kelebihan selain memudahkan perancangan skuad negara untuk menghadapi kejohanan antarabangsa.
“Kalau pemain dihimpunkan dari liga dan kelab contohnya, dengan kalendar FIFA dua hingga 10 hari dan persiapan seminggu, ia masa yang singkat. Betul, dari segi taktik mungkin mereka faham, cuma persefahaman itu akan ambil masa.
“Kalau kita gabungkan mereka macam Harimau Muda, pergi Slovakia enam bulan, balik terus sertai Sukan SEA, jadi juara.
“Bukan kata sudah tentu kita jadi juara, tapi maknanya kita ada daya saing dan pemain dapat banyak minit permainan.
“Walaupun kita main dengan divisyen dua dekat Slovakia, tapi kualiti mereka taraf profesional. Ia memudahkan jurulatih kerana bersama pemain setiap minggu, setiap hari.
sumber:- HM
“Ketika pergi Sukan Universiti Dunia, kita kalahkan Itali, bayangkanlah Itali dengan nama besar pun boleh dikalahkan,” katanya.