Pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m), Muhammad Azeem Fahmi mahu mengubah mentaliti dirinya daripada sekadar memburu catatan masa kepada memburu kemenangan dan podium setiap kali turun beraksi di pentas antarabangsa.
Pelari berusia 22 tahun itu berkata, sudah tiba masanya dia meninggalkan tanggapan bahawa setiap kejohanan hanya medan menimba pengalaman, sebaliknya mahu membuktikan atlet Malaysia juga mampu bersaing untuk memenangi pingat di peringkat Asia.
“Bagi saya, cukuplah dengan pendedahan. Cukuplah dengan pengalaman dan segala pembelajaran yang saya perlu ambil daripada tempat lain.
“Sekarang sudah tiba masanya untuk saya berlari laju, berada di podium dan memenangi seberapa banyak pingat setiap kali saya melangkah masuk ke trek,” katanya.
Azeem berkata, perubahan mentaliti itu turut didorong peningkatan prestasi pelari pecut Asia Tenggara termasuk Malaysia yang semakin mampu memberi saingan di peringkat benua.
“Kita tahu memang sukar untuk pelari Asia Tenggara berada pada tahap terbaik di Asia. Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita dapat lihat pelari dari Thailand dan Malaysia semakin meningkat.
“Kita ada Arsyad (Md Saat), kita ada Danish (Iftikhar Muhammad Roslee) yang mampu berlari secara konsisten di bawah 10.30 saat. Itu sangat mengujakan dan menjadi antara sebab saya meletakkan sasaran yang lebih tinggi kepada diri sendiri,” katanya.
Menurut Azeem, segala pengorbanan yang dilakukan sepanjang bergelar atlet seharusnya diterjemahkan kepada kemenangan dan bukan sekadar memecahkan rekod peribadi.
“Pada akhirnya, semua pengorbanan, usaha dan masa yang kita curahkan dalam latihan adalah untuk memenangi pingat.
“Bagi saya sebagai pelari pecut, latihan seumur hidup hanya untuk perlumbaan 10 saat. Memang masuk final atau memecahkan rekod peribadi satu pencapaian yang baik, tetapi saya lebih rela berlari 10.30 saat dan menang emas daripada mencatat 9.80 saat tetapi menamatkan perlumbaan di tempat terakhir.
“Menang tetap menang, tidak kira berapa pantas kita berlari dalam perlumbaan itu,” katanya.
Azeem berkata, perubahan cara pemikirannya banyak dipengaruhi rakan sepasukan ketika menuntut dan berlatih di Universiti Auburn, Amerika Syarikat yang sentiasa meletakkan kemenangan sebagai keutamaan.