PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) selepas menewaskan wakil Filipina, Dynamic Herb Cebu FC 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Nidzam Jamil mengekalkan rentak kemenangan dalam 10 perlawanan di laman sendiri di semua pertandingan setakat ini.
SFC turut melengkapkan minggu bergaya buat wakil negara di pentas Asia selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) merakam kemenangan 3-0 ke atas Shanghai Shenhua di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Dalam aksi itu, SFC memanfaatkan sepenuhnya penguasaan yang dimiliki apabila mendahului seawal minit kesembilan selepas serangan balas pantas yang dilancarkan membolehkan Yohandry Orozco menyudahkan hantaran Ronnie Fernandez untuk gol pembukaan perlawanan.
Selepas dibolosi, pelawat memperkemas benteng pertahanan mereka dan dibantu ketangkasan penjaga gol, Florencio Jr yang menafikan beberapa percubaan berbahaya SFC pada babak pertama.
Dia menyelamatkan percubaan satu lawan satu Oroczo pada minit ke-24 sebelum menepis percubaan jarak jauh Noor Al-Rawabdeh empat minit berselang bagi memastikan mereka tidak terus ketinggalan dalam perlawanan itu.
SFC sepatutnya boleh menambah gol pada babak pertama selepas mereka mencipta banyak peluang namun beberapa percubaan tepat yang lemah ke dakapan Florencio menyaksikan keputusan 1-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, SFC terus mengasak untuk melebarkan jurang namun gerakan yang dilancarkan tampak disia-siakan oleh penyudah kurang kemas daripada jentera serangan mereka.
Pemain gantian, Muhammad Aliff Izwan menguji gawang Dynamic Herd Cebu FC pada hujung permainan namun Florencio Jr kekal fokus untuk menepis percubaan jarak jauh terbabit.
sumber:-BH
Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan SFC meraih tiga mata berharga di laman sendiri.