KUALA LUMPUR: Selangor FC tampil memperjelaskan berkenaan insiden yang berlaku ketika perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), 29 Oktober lalu.
Menerusi kenyataan hari ini, Selangor FC menyangkal beberapa dakwaan daripada Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika mengumumkan hukuman beraksi dua perlawanan Piala FA tanpa penonton dan denda RM100,000 terhadap Gergasi Merah, kelmarin.
Bagi insiden satu, Selangor FC menjelaskan bahawa penyokong Gergasi Merah tidak terbabit dalam insiden membakar dan melempar mercun di dalam stadium.
“Insiden dua, penyokong Selangor FC tidak merosak atau melontarkan bangku tempat duduk yang mengakibatkan kecederaan kepada penyokong pelawat di dalam stadium semasa perlawanan berlangsung. Pihak kelab mendapati kerosakan dan kehilangan bangku tempat duduk adalah di kawasan penyokong pelawat sahaja.
“Insiden tiga, pihak kelab ingin menjelaskan bahawa tiada tetamu berstatus VVIP Selangor FC yang melontar bekas minuman plastik ke kawasan tempat duduk keluarga pasukan pelawat.
“Insiden empat, penyokong Selangor FC tidak membuat provokasi yang mengakibatkan kekecohan di dalam stadium. Kekecohan antara penyokong di dalam stadium berpunca apabila penyokong pasukan pelawat membakar dan melempar mercun ke tempat duduk penyokong Selangor FC,” kata Selangor FC.
Menerusi kenyataan sama, Selangor FC menjelaskan bahawa kelab itu menyediakan seramai 170 pegawai keselamatan dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa perlawanan berkenaan.
Kelab itu memaklumkan, dalam setiap insiden yang berlaku di dalam stadium, pegawai keselamatan dan anggota PDRM dilihat sentiasa berada dalam kedudukan bersedia bertindak di setiap lokasi bagi menangani sebarang insiden yang tidak diingini.
“Selangor FC akan memfailkan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FAM. Rayuan ini akan didengari semula secara menyeluruh dan pihak kelab mengharapkan bahawa rayuan ini dapat dipertimbangkan sebelum perlawanan timbal balik separuh akhir Piala FA (menentang Sabah) yang dijadualkan pada 30 November 2025 di Stadium MBPJ.
“Selangor FC tidak sesekali menyokong sebarang tingkah laku yang boleh mengancam keselamatan semua pihak. Stadium dan perlawanan bola sepak seharusnya menjadi ruang yang selamat untuk semua penyokong dan penonton menikmatinya dengan aman,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu dalam kenyataan, kelmarin menjelaskan Selangor FC dikenakan lima pertuduhan yang mana kelab itu didapati bersalah melanggar Artikel 70, Perenggan 1 dan Perenggan 3 Kod Tatatertib FAM bagi pertuduhan pertama, kedua, ketiga dan keempat serta melanggar Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM bagi pertuduhan kelima.
Bagi pertuduhan pertama, Baljit dalam kenyataan itu mendakwa, pada perlawanan berkenaan penyokong Selangor FC membakar mercun dan dianggarkan sebanyak dua kali letupan dilihat dan didengari dibaling ke arah tempat duduk penyokong Negeri Sembilan FC.
Pertuduhan kedua, penyokong Selangor FC didakwa merosakkan dan melontarkan bangku tempat duduk penonton dan membaling botol air ke arah tempat duduk penyokong Negeri Sembilan FC yang mengakibatkan kecederaan kepada dua orang penyokong Negeri Sembilan FC.
Pertuduhan ketiga, dari tempat duduk orang kenamaan, seorang VVIP dari pihak Selangor FC didakwa membaling bekas minuman plastik berisi air ke arah keluarga pemain pasukan Negeri Sembilan FC.
Bagi pertuduhan keempat pula, penyokong Selangor FC didakwa melakukan provokasi yang mengakibatkan kekecohan di antara kedua-dua penyokong di tempat duduk penyokong.
Sementara itu, bagi pertuduhan kelima, Selangor FC didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran seperti mematuhi dan melaksanakan undang-undang keselamatan sedia ada (undang-undang FIFA & AFC, undang-undang FAM, undang-undang nasional, perjanjian antarabangsa) dan mengambil setiap langkah keselamatan mengikut keadaan sebelum, semasa dan selepas perlawanan dan jika insiden berlaku.