KUALA LUMPUR: Selangor FC terus mendapat kepercayaan penaja apabila mengumumkan kerjasama dengan First Pride Malaysia iaitu jenama nugget di bawah Tyson Foods Malaysia.
Kerjasama berkenaan bertujuan untuk mempertingkatkan pengalaman stadium dengan menawarkan peminat snek berasaskan ayam halal yang berkualiti tinggi semasa perlawanan diadakan.
Tyson Foods Malaysia yang sudah beroperasi lebih 30 tahun di negara ini sentiasa komited untuk menyokong komuniti tempatan melalui penajaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon menjelaskan pihaknya amat gembira dan mengalu-alukan kehadiran First Pride Malaysia ke dalam keluarga Gergasi Merah.
“Kerjasama ini lebih daripada sekadar makanan, ia juga mengenai memberi pilihan kepada peminat kami untuk menikmati nugget protein halal yang berkualiti tinggi,” katanya.
Kerjasama itu juga akan membabitkan pelbagai aktiviti termasuk sesi beramah mesra dengan pemain utama, hadiah tiket perlawanan dan inisiatif lain untuk mengeratkan hubungan dengan komuniti serta memberi ganjaran kepada peminat Selangor FC atas sokongan mereka.
Sementara itu, Pengarah Pemasaran First Pride Malaysia, Freddie Wong berkata, beliau percaya apa yang menjadikan bola sepak begitu istimewa adalah bagaimana sukan itu dapat menyatukan semua orang.
sumber:- BH
“Kami yakin pelaburan kami dalam kelab ini akan dimanfaatkan dalam pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Selangor FC, sama ada untuk pasukan utama atau pembangunan belia yang mana bertujuan mengenal pasti generasi bintang masa hadapan,” katanya.