sukan

Selangor FC masih ‘kebal’ di laman sendiri

KUALA LUMPUR: Selangor FC wajib menewaskan Kuching City pada aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), esok jika mahu melangkah ke separuh akhir Piala FA.

Ia susulan Kuching City akan bertandang ke gelanggang Gergasi Merah itu dengan kelebihan satu gol hasil kemenangan 2-1 dalam aksi pertama di Stadium Negeri, Kuching, Sabtu lalu.

Skuad kendalian Nidzam Jamil bagaimanapun memiliki rekod cemerlang di ‘rumah’ sendiri musim ini apabila memenangi semua empat perlawanan di Stadium MBPJ termasuk tiga dalam Liga Super dan satu aksi Piala FA.

Malah, statistik menunjukkan naib juara Liga Super musim lalu itu juga merekodkan 12 jaringan setakat ini iaitu tujuh dalam perlawanan Liga Super dan lima bagi aksi Piala FA dengan 11 daripada dihasilkan di gelanggang sendiri.

Angka itu memberi gambaran bahawa Gergasi Merah mempunyai keupayaan tinggi untuk bangkit memadam kelebihan yang dimiliki skuad kendalian Aidil Sharin Sahak.

Nidzam menjelaskan pasukannya mengambil pendekatan positif dan belajar daripada kekalahan kepada Kuching City untuk tampil dengan aksi lebih baik pada perlawanan timbal balik.

Pengendali berusia 44 tahun itu juga memberi bayangan bahawa akan ada beberapa perubahan pemain yang akan dilakukan dalam usaha untuk memastikan tiket ke separuh akhir menjadi milik mereka.

“Banyak benda yang kami belajar mengenai perlawanan pertama di tempat lawan dan kami ada perlawanan di tempat sendiri yang mana kami akan cuba tebus kembali.

“Saya berasa semua pemain faham mengenai Piala FA dan Kuching City sudah kejutkan finalis Piala FA musim lalu, KL City. Jadi mereka akan cuba kejutkan kami juga, tapi sama ada kita biarkan atau tak biarkan, itu dalam genggaman kami sebenarnya.

“Kami jangka penyokong di belakang kami kembali, (beraksi) di rumah kami dan kami tidak akan biarkan peluang ini terlepas,” katanya.

Selangor mara ke suku akhir Piala FA selepas membelasah Negeri Sembilan 4-0 pada aksi pusingan 16 di Stadium MBPJ, manakala Kuching City pula mengatasi KL City 3-2 di tempat lawan.

sumber:-BH

Sementara itu, Aidil menegaskan bahawa pasukannya perlu menampilkan aksi yang lebih baik sekiranya mahu menyingkirkan Selangor dari Piala FA.