KUALA LUMPUR: Meskipun sudah tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), Selangor pasti tetap membawa harapan besar untuk meraih keputusan positif pada aksi menentang Bangkok United di Stadium Pathum Thani, malam esok.
Dianggap sebagai perlawanan pelengkap jadual buat Selangor, namun keputusan perlawanan itu dilihat turut membabitkan maruah Gergasi Merah yang sebelum ini tewas semua empat perlawanan dalam Kumpulan G.
Berada di tangga tercorot tanpa sebarang mata dan saingan masih berbaki dua perlawanan, skuad kendalian Christophe Gamel juga harus menggunakan peluang itu untuk sekurang-kurangnya menamatkan kempen mereka pada kedudukan lebih baik.
Anak buah buah Gamel dilihat menuju ke perlawanan kelima Kumpulan F itu dengan motivasi terbaik selepas kejayaan menundukkan Kelantan The Real Warriors (TRW) 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Sabtu lalu untuk berada di tangga keempat Liga Super.
Walaupun gembira dengan kemenangan itu, Gamel bagaimanapun menegaskan bahawa masih banyak perkara yang perlu diperbaiki skuad Gergasi Merah untuk tampil lebih garang dalam perlawanan akan datang.
“Saya gembira dengan tiga mata (menentang Kelantan TRW), tetapi saya masih mengharapkan lebih daripada pasukan. Ada ketika kita hilang kawalan dan itu perlu diperbaiki. Namun, pemain memberikan reaksi yang sangat baik sepanjang aksi.
“Jika kami lebih tajam, mungkin lebih banyak gol dapat dijaringkan. Perkara paling penting adalah kita mencipta peluang dan pasukan melakukannya dengan sangat baik. Walaupun begitu, masih banyak yang perlu kami perbaiki,” kata Gamel.
Selangor sah tersingkir dari saingan ACL2 selepas tewas 2-3 kepada wakil Indonesia, Persib Bandung di Stadium MBPJ, 6 November lalu yang turut mencetuskan kekecohan penyokong Gergasi Merah selepas perlawanan itu.