KUALA LUMPUR: Selangor perlu menyalahkan diri sendiri susulan kekalahan 0-1 kepada kelab Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors di Stadium Piala Dunia Jeonju, semalam.
Ia menjadi kekalahan pertama Gergasi Merah dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) selepas empat perlawanan dan jatuh ke tangga kedua Kumpulan H.
Ketua jurulatih sementara Selangor, Abdi Hassan enggan memberikan alasan termasuk perbezaan cuaca susulan kekalahan kepada Jeonbuk.
Sebaliknya, beliau menyifatkan aksi terbaik yang dipamerkan pasukan lawan dan kegagalan pemain Selangor menyudahkan peluang dengan jaringan menyebabkan pasukannya pulang dengan tangan kosong.
“Kami beraksi minggu lalu dan memiliki empat atau lima hari untuk melakukan pemulihan dan persiapan. Jika melihat kepada perbezaan negara, yang mana kami perlu sesuaikan diri dengan perkara seperti cuaca.
“Namun, sudah pasti ia bukan alasan kerana melihat kepada suasana di stadium yang hebat dan menentang pasukan kuat di peringkat tinggi, seandainya kita tidak menjaringkan gol, ia akan menjadi perlawanan yang sukar,” katanya.
Tiga mata yang diraih Jeonbuk membolehkan skuad itu kembali ke kedudukan teratas kumpulan dengan mengumpul sembilan mata, dua mata di depan Selangor.
Sementara itu, pengendali Jeonbuk, Kim Do Heon menganggap pasukannya berhak mendapat tiga mata berdasarkan persembahan yang dipamerkan anak buahnya.
“Kami mempersiapkan pasukan untuk membina gerakan sedikit demi sedikit. Namun paling penting adalah kemenangan kerana tiga mata sentiasa menjadi keutamaan.
sumber:-BH
“Sebagai jurulatih, saya dan pemain sudah bekerja keras untuk mencapai matlamat ini. Motivasi kami adalah untuk terus berkembang pada masa akan datang,” katanya.