NAIB juara Liga Super, Selangor FC, giat memantapkan persediaan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M), Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/26 apabila merekrut pemain muda berbakat besar, Moses Raj.
Pemain pertahanan berusia 19 tahun itu memulakan karier bola sepaknya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Ipoh menerusi kejohanan Pusat Latihan Daerah (PLD), sebelum diserap ke dalam skuad Piala Presiden Perak FC.
Ketika bersama pasukan tersebut, Moses berjaya meledak empat gol dan mencatat sekurang-kurangnya lima aksi tanpa bolos, sekali gus menunjukkan potensi besar di usia muda sehingga membolehkan beliau dinaikkan pangkat ke skuad Piala MFL Perak FC.
Selain pencapaian di peringkat kelab, Moses turut mencuri tumpuan apabila terpilih menyarung jersi skuad Bawah 20 tahun Harimau Malaya dalam kempen Piala Asia B-20 2024.
Malah, beliau turut mencatat nama selaku penjaring ketika bertemu Oman dalam kejohanan tersebut.
Beliau juga menjadi tonggak utama pasukan Perak yang mara ke separuh akhir acara bola sepak SUKMA, sekali gus memperkukuh reputasinya sebagai antara bakat pertahanan paling menyerlah ketika ini.
“Kehadiran Moses adalah pelaburan jangka panjang buat Selangor FC, selain berfungsi sebagai pelapis berkualiti tinggi di posisi pertahanan.
“Kepantasan dan kebijaksanaan Moses membaca permainan bakal menjadi aset penting dalam usaha kami mengurangkan jumlah bolos musim ini.
sumber:- SH
“Pada masa sama, persaingan sihat dalam kalangan pemain pertahanan sedia ada juga dapat diwujudkan,” jelas juara Piala Cabaran musim lalu itu.