KUALA LUMPUR: Pasukan Selangor FC (SFC) sudah mempunyai rangka perancangan seterusnya buat Faisal Halim selepas pemain sayap itu dibenarkan keluar dari hospital.
Ketua Perubatan Sukan SFC, Dr Muhammad Hazwan Khair menjelaskan antara perancangan itu termasuk Faisal atau lebih mesra disapa Mickey akan menjalani proses pemulihan otot.
Beliau berkata, Mickey juga akan menjalani proses rawatan dari aspek psikologi dan emosi dengan pihaknya akan meminta bantuan daripada Institut Sukan Negara (ISN).
“Selepas keluar hospital kita sudah rangka plan yang mana ia bermula perancangan rehab (otot) untuk Mickey. Kita akan fokus lebih kepada persembahan.
“Namun, kita perlu hormati prosedur yang sedang dan sudah dijalankan. Setakat ini Mickey bersikap optimis dan memang seperti pesakit lain, kalau boleh tidak mahu terus tinggal lebih lama dalam hospital.
“Untuk rawatan psikologi, kita rancang melakukan beberapa penilaian, itu yang kita akan meminta bantuan daripada pihak ISN seperti yang sudah dinyatakan sebelum ini.
“Kita juga akan membuat kajian mendalam bagi melihat bagaimana psikologi dan emosi Mickey kerana bagi kami, selain fizikal, ia juga aspek yang penting untuk dia kembali beraksi,” katanya.
Semalam, BH Sukan melaporkan Mickey yang juga pemain kebangsaan menjalani pembedahan keempat membabitkan proses ‘split skin grafting’ (SSG), pagi semalam dan perkembangan Faisal akan terus dipantau di hospital.
Tempoh 48 hingga 72 jam seterusnya bakal menjadi detik penentu buat pemain berusia 26 tahun itu sama ada boleh ‘dibebaskan’ daripada hospital atau pun tidak.
sumber:-BH
Mickey sudah hampir tiga minggu menjalani proses rawatan di hospital selepas melecur tahap empat di beberapa bahagian badan apabila menjadi mangsa simbah asid, 5 Mei lalu.