KUALA LUMPUR: Naib juara Piala FA 2024, Selangor FC (SFC) enggan lagi meratapi kekalahan pada aksi final Piala FA dan kini bertekad mendapatkan kembali momentum kemenangan bertemu Kuching City FC (KCFC) di laman sendiri, Jumaat ini.
Penyerang importnya, Ronnie Fernandez memaklumkan pasukannya bersemangat dalam sesi latihan yang sudahpun bermula di bawah kendalian Nidzam Jamil sejak awal minggu lalu.
Jelasnya, tempoh rehat yang diberikan selepas final Piala FA 2024 ‘menyegarkan’ semua pemain dan kini mereka perlu mengembalikan fokus untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) pula.
“Kami diberi cuti panjang untuk berehat selepas perlawanan akhir yang lalu. Saya percaya semua pemain meluangkan masa mereka untuk bersama keluarga dan juga untuk diri sendiri.
“Ini seperti satu nafas yang baru memulakan semula perjuangan kita. Secara jujur, kami tetap berada di landasan yang sama untuk mencapai sasaran yang dimahukan.
“Kini, pasukan berada di tempat kedua saingan Liga Super, ini bermakna kita perlu berlatih bersungguh-sungguh dan menyiapkan diri untuk kekalkan momentum bagi menambah lebih banyak mata kemenangan di masa hadapan.
“Cara terbaik untuk mencapai impian tersebut adalah dengan mengekalkan semangat juang bersama dan dalam masa yang sama turut meningkatkan prestasi diri dan pasukan,” katanya.
sumber:-BH
Selepas aksi berdepan KCFC, skuad ‘Gergasi Merah’ akan membuka kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang Muangthong United di Bangkok pada 19 September.