sukan

Selangor mampu jaringkan lebih dari 1 gol – Nidzam

KUALA LUMPUR: Jika melihat kepada statistik penuh perlawanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) antara Selangor FC (SFC) dan Dynamic Herb Cebu FC, mereka yang tidak menyaksikan perlawanan pasti menganggap SFC melakar kemenangan besat ke atas wakil Filipina itu.

Dengan 80 peratus penguasaan bola dimiliki, 28 percubaan dan lapan percubaan tepat dilakukan ke arah gawang lawan namun skuad ‘The Red Giants’ hanya mampu melakar kemenangan tipis 1-0 menerusi jaringan awal Yohandry Orozco pada minit kesembilan.

Bagaimanapun, di sebalik deretan peluang demi peluang yang dilepaskan sekali gus menghalang mereka merakam kemenangan besar, pengendali SFC, Nidzam Jamil mengakui lebih bimbang sekiranya anak buahnya buntu untuk mencipta peluang dalam perlawanan diharungi.

Justeru, dia gembira dengan persembahan anak buahnya apatah lagi mereka berdepan Dynamic Herb Cebu FC yang bermain dengan begitu berdisiplin pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu.

“Saya lagi takut kalau kita tidak mencipta peluang kerana kalau dapat mencipta peluang, sekurang-kurangnya kita ada harapan (mendapatkan jaringan) daripada kita tidak mencipta apa-apa peluang langsung.

“Kita tahu kita memiliki banyak peluang dan sudah tentu pasukan impikan untuk menang 3-0, 4-0, 5-0 tetapi inilah bola sepak. Kita menghormati lawan dan tidak mudah bermain dengan lawan yang menunjukkan corak permainan yang begitu berdisiplin.

“Tetapi bagi saya, keputusan 1-0 adalah adil untuk kita,” kata Nidzam.

Dalam masa sama, Nidzam juga mengharapkan anak buahnya dapat kekal fokus dalam perlawanan selagi wisel penamat dibunyikan selepas mereka hampir dikejutkan dengan gol penyamaan lewat permainan oleh Dynamic Herb Cebu FC.

“Pasukan lawan bermain dengan lebih defensif tetapi ketika kita sedikit leka di hujung permainan, kita nyaris dibolosi. Jadi kita perlu sentiasa mengekalkan fokus sehingga tamat perlawanan,” katanya.

Sebagai rekod, satu kemenangan dan satu seri membolehkan SFC meraih empat mata dan menghuni tangga kedua Kumpulan H, dua mata di belakang pendahulu, Jeonbuk Hyundai yang cemerlang menghimpun enam mata maksimum.

sumber:-BH

Kemenangan ke atas Dynamic Herb Cebu FC itu menyaksikan SFC mengekalkan rentak kemenangan dalam 10 perlawanan di laman sendiri dalam semua pertandingan setakat ini.