sukan

‘Selangor perlu segera perbaiki benteng benteng pertahanan yang rapuh’

SELANGOR FC perlu segera menutup kelemahan benteng pertahanan yang rapuh selepas dibolosi tujuh gol dalam saingan domestik dan pentas ASEAN.

Bekas pemain negara, Razman Roslan percaya faktor kecergasan dan keterujaan memburu gol menyebabkan skuad Gergasi Merah kerap dibolosi khususnya pada separuh masa kedua.

Penilian tersebut dibuat berdasarkan statistik skuad bimbingan Katsuhito Kinoshi itu yang dibocori pasukan lawan dalam lima aksi awal musim 2025/26.

Justeru Razman percaya faktor keghairahan memburu gol tambahan dan kecergasan kerap menghampakan usaha Selangor FC mendapatkan keputusan positif.

“Mungkin mereka boleh mendapatkan satu mata, tetapi bila ghairah mencari gol kemenangan, mereka dibolosi.

“Faktor kedua mungkin disebabkan kepenatan atau kecergasan. Mereka tidak boleh mengakhiri minit (permainan), minit ke-75 hingga ke-90 mereka sudah kepenatan.

“Apabila kepenatan, mereka akan hilang tumpuan, mengharap pemain lain dan masing-masing tidak menjalankan tugas mereka dengan baik,” katanya semasa menjadi panel XI Sebelas Utama di Astro Arena.

Selangor FC memulakan musim ini dengan langkah kiri apabila kalah 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi merebut Piala Sumbangsih, namun mereka bangkit menewaskan Malaysian University 1-3 dalam saingan Piala FA.

Dalam saingan Piala ASEAN pula mereka dibolosi satu jaringan ketika terikat 1-1 dengan Buriram United, sebelum tumpas 1-2 kepada Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super pada Ahad.

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan turut berharap kelemahan tersebut dapat dibaiki segera.

“Ada kelemahan yang harus dibaiki kerana banyak gol berlaku di separuh masa kedua. Mungkin corak permainan yang nak letak pemain memberi sokongan kepada jentera serangan.

“Situasi ini memberi ruang kepada pasukan lawan untuk membuat serangan balas. Jurulatih perlu tahu, kenapa banyak bolos? katanya.

Selangor FC akan melayan kunjungan Terengganu FC di laman sendiri, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dalam aksi Liga Super pada Rabu.