sukan

Selangor tangguh pesta kejuaraan JDT

KUALA LUMPUR: Kejayaan Selangor menundukkan Sri Pahang, malam tadi bukan sahaja mengukuhkan cengkaman Gergasi Merah di kedudukan kedua Liga Super, malah menangguhkan pesta kejuaraan ke-11 berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kemenangan 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu menyaksikan Selangor ketika ini ketinggalan 13 mata di belakang JDT yang selesa mendahului di kedudukan teratas dengan mengumpul 55 mata selepas 19 perlawanan.

Berbaki lima perlawanan lagi, JDT hanya memerlukan satu kemenangan untuk mengesahkan kejuaraan dan Harimau Selatan dijangka memuktamadkan kejuaraan selepas aksi menentang Perak di Stadium Sultan Ibrahim, 27 Februari ini.

Seakan mustahil untuk merampas kejuaraan dari JDT, Selangor lebih fokus untuk gelaran naib juara dengan skuad kendalian Katsuhito Kinoshi kini mendahului pasukan tangga ketiga Sabah dengan 10 mata, namun Sang Badak masih kekurangan dua perlawanan.

Kinoshi meluahkan keyakinan bahawa pasukannya mampu untuk menamatkan saingan di kedudukan kedua, sekali gus mempertahan gelaran naib juara yang dimenangi musim lalu.

“Pada saat ini saya yakin untuk kekal di kedudukan kedua, tetapi itu buat masa ini. Kami perlu bekerja keras untuk mengekalkan momentum.

“Walaupun kami perlu berdepan situasi sukar, kami harus bertarung untuk masa depan dan penyokong Selangor. Kami kena fokus kepada perlawanan seterusnya, saya fikir itu lebih baik,” katanya selepas aksi menentang Sri Pahang.

Selain itu, Kinoshi berpuas hati dengan persembahan anak buahnya ketika menundukkan Sri Pahang, namun menegaskan bahawa Gergasi Merah perlu meningkatkan prestasi untuk terus menjamin kedudukan mereka di tangga kedua.

Pengendali dari Jepun itu berkata, kemenangan ke atas Sri Pahang amat penting terutama bagi menebus kekalahan kepada Tok Gajah yang menewaskan mereka dalam aksi Piala Malaysia di gelanggang sama, Disember lalu.

“Keputusan 2-0 bagus, anda masih ingat kami tewas kepada mereka 2-1 pada Disember lalu. Perlawanan sebelum ini Sri Pahang lebih kuat daripada kami, tapi kali ini kami lebih kuat daripada mereka.

sumber:-BH

“Kami perlu lebih meningkat untuk meraih tempat kedua liga dan menjuarai Piala Cabaran. Keputusan bagus, tapi kami masih perlu bekerja untuk perlawanan seterusnya,” katanya.