SELANGOR FC sudah bersedia untuk menghadapi cabaran besar menentang kelab Thailand, Bangkok United dalam perlawanan Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2025/26 pada Khamis.
Pengendali skuad Gergasi Merah, Katsuhito Kinoshi berkata, mereka sedar keupayaan dan kualiti dimiliki Bangkok United, namun percaya Selangor mampu membuktikan sesuatu.
Malah, beliau turut yakin para pemainnya mampu beraksi dengan baik sekali gus menghadiahkan kemenangan dalam aksi yang akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
“Sudah tentu, kemenangan adalah sasaran utama kami. Bangkok United sebuah pasukan yang bagus, mereka ada pemain asing dari Eropah dan Jepun yang menambah kekuatan pasukan.
“Tetapi, kami juga tidak boleh hanya melihat kehebatan mereka kerana Selangor sendiri mempunyai kemampuan untuk bersaing.
“Kami pernah buktikan sebelum ini ketika menentang Buriram United dalam Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC). Dalam perlawanan itu kami mendahului sehingga minit ke-95 sebelum mereka menyamakan kedudukan. Itu membuktikan kami boleh memberikan cabaran sengit kepada mana-mana pasukan,” katanya.
Kinoshi turut menegaskan bahawa keyakinan dan mentaliti positif menjadi faktor penting yang perlu dibawa anak buahnya dalam pertemuan kali ini.
Katanya, kelebihan beraksi di laman sendiri harus digunakan sebaik mungkin bagi memberikan tekanan kepada lawan.
“Jadi, mengapa tidak? Kami mesti cuba. Kami perlu ada semangat mencabar, turun dengan tekad untuk mencari kemenangan,” katanya.
Bangkok United dijangka hadir dengan reputasi sebagai salah satu pasukan elit dari Thailand selepas tampil cemerlang dalam saingan domestik musim lalu.
Namun, Selangor juga tampil dengan semangat tinggi selepas turut cemerlang dalam saingan tempatan dan kini mahu membuktikan kemampuan di pentas Asia.