sukan

Selangor tidak boleh kalah berdepan Persib Bandung

KUALA LUMPUR: Selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya meraih kemenangan pertama di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) berdepan Chengdu Rongcheng di tempat lawan kelmarin, kini tiba giliran untuk satu lagi wakil negara di pentas Asia, Selangor FC (SFC) untuk melakukannya.

Skuad bimbingan Christophe Gamel itu tampak bertuah dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) selepas diundi dalam Kumpulan G apabila hanya bertemu pasukan dari ASEAN iaitu Bangkok United, Lion City Sailors dan Persib Bandung.

Namun kesempatan itu gagal dimanfaatkan selepas mereka tumbang dengan keputusan sama 2-4 di tangan Bangkok United dan Lion City Sailors sekali gus terperosok di dasar Kumpulan G.

Bakal berkunjung ke Stadium Gelora Bandung Lautan Api untuk berdepan Persib Bandung malam esok, SFC tiada pilihan lain kecuali perlu meraih kemenangan bagi menghidupkan laluan ke peringkat kalah mati.

Satu lagi kekalahan akan ‘menyempitkan’ peluang mereka untuk meneruskan kemaraan apatah lagi pasukan lain sudah memiliki mata tetapi SFC masih kosong.

Aksi SFC di ACL2 tidaklah begitu teruk kerana mereka berjaya menjaringkan dua gol dalam setiap perlawanan namun barisan pertahanan ‘bocor’ lebih banyak sekali gus menjadi punca mereka tumbang.

Justeru, barisan pertahanan perlu lebih diperkemas kerana mereka akan memainkan peranan penting dalam usaha SFC memburu kemenangan pertama di ACL2.

Selain itu, Persib Bandung juga pasti akan berwaspada terhadap kebangkitan pemain sensasi, Faisal Halim yang dilihat sudah menemui rentak terbaiknya pada musim ini.

Membuka musim dengan agak perlahan apabila lebih banyak masuk sebagai pemain gantian namun pemain kebangsaan itu sudah memperagakan prestasi terbaiknya.

Berdasarkan enam gol dalam lima perlawanan terakhir di peringkat kelab dan antarabangsa, Faisal dijangka terus menjadi ancaman terbesar buat Persib Bandung.