sukan

Senarai 11 pasukan Malaysia ‘digari’ FIFA

Sebanyak 11 pasukan atau kelab dari Malaysia ‘digari’ oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila dikenakan sekatan pendaftaran pemain oleh badan induk dunia itu.

Berdasarkan semakan di laman FIFA, ia membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak 33 kes yang turut menyaksikan pasukan dari Malaysia merekodkan jumlah tertinggi kes sekatan pendaftaran pemain oleh FIFA di ASEAN.

Pendatang baharu Liga Super musim ini, Kelantan Red Warrior (KRW) FC merekodkan jumlah tertinggi iaitu dengan sembilan kes, namun apa yang menyedihkan kerana hukuman yang dikenakan itu dilaporkan bukan kesalahan daripada kelab terbabit.

Sebaliknya, kes tuntutan tunggakan gaji berkenaan dibuat terhadap KRW FC selepas kelab itu didakwa memiliki entiti sama dengan kelab yang sudah tidak beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M), Kelantan FC.

Malah, kes berkenaan memberikan kesan besar terhadap KRW FC apabila mereka tidak boleh mendaftarkan pemain baharu untuk memantapkan skuad dengan pasukan itu kini berada di tangga tercorot Liga Super tanpa sebarang mata selepas enam perlawanan.

Bekas kelab Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) FC mencatat jumlah kedua tertinggi dengan enam kes disusuli Kelantan The Real Warriors empat kes.

Kelantan FC dan PDRM FC pula mencatat tiga kes, Perlis FA dan Gombak FC mempunyai dua kes, manakala Perak FC, Terengganu FC serta Kuala Lumpur (KL) City masing-masing memiliki satu kes.

KL City yang baru dibebaskan daripada sekatan FIFA sebelum ini kembali berada dalam senarai itu susulan kes yang baru ‘diaktifkan’ bermula 15 Oktober lalu berkaitan tuntutan ‘bunga’ atau faedah daripada Patrick Reichelt.

Pengerusi Kuala Lumpur City, Syed Yazid Syed Omar dilaporkan berkata tuntutan bunga berkenaan dikenakan disebabkan pembayaran gaji lewat bekas pemain import itu bagi tahun 2024.

Merujuk senarai kes di laman FIFA setakat hari ini, Indonesia berada di tangga kedua dalam kalangan negara ASEAN dengan 21 kes membabitkan beberapa kelab dari negara itu, diikuti Thailand (sembilan), Filipina (enam), Vietnam (dua) dan Myanmar (satu).

Senarai sekatan pendaftaran pemain FIFA di seluruh dunia mencecah 1,250 kes dan jumlah kes membabitkan kelab dari Malaysia bukanlah termasuk dalam antara negara yang merekodkan jumlah yang tertinggi.

Kelab dari Turkiye antara yang mencatatkan jumlah kes sekatan pendaftaran pemain tertinggi dengan merekodkan 228 kes, Libya (143), Greece (58), China (47), Romania (45) dan Bolivia (39).

Malah, kelab dari beberapa negara kuasa besar bola sepak dunia turut berada dalam senarai itu dengan kelab dari Brazil merekodkan 21 kes, Argentina (17), Portugal (16), Belgium (sembilan), Itali (lapan), Sepanyol (lima) dan Perancis (empat).

Senarai pasukan Malaysia dikenakan sekatan pendaftaran pemain oleh FIFA

Perlis FA – 2 kes

Kelantan FC – 3 kes

Gombak FC – 2 kes

Kedah Darul Aman FC – 6 kes

Perak FC – 1 kes

Kelantan Red Warrior – 9 kes

Kelantan The Real Warriors – 4 kes

PDRM FC – 3 kes

PT Athletic FC – 1 kes

Terengganu FC – 1 kes

Kuala Lumpur City – 1 kes