sukan

Senarai barisan pemain Kedah FA bakal diumumkan Julai ini

ALOR SETAR: Persiapan skuad Kedah FA yang bakal memulakan saingan sulung dalam Liga A1 Semi Pro musim 2025/2026 kini berada dalam proses terakhir bagi melengkapkan senarai pemain pasukan menjelang aksi mula pada Ogos depan.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Kedah FA ini, tiga pemain import dan beberapa tempatan telah dinilai dalam sesi latihan dan aksi perlawanan dalaman yang diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) pada 7 Julai lalu.

“Dalam usaha memperkemas taktikal serta membentuk keserasian pasukan, satu sesi latihan bersama pasukan GSA Perlis FC diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim. Perlawanan itu menyaksikan Kedah mencatat kemenangan 3-1 hasil persembahan yang meyakinkan daripada barisan pemain muda dan berpengalaman.

“Perlawanan itu juga turut digunakan oleh barisan kejurulatihan untuk menguji pemain import dari Korea Selatan, Mesir dan Portugal yang hadir menjalani ujian pemilihan. Kehadiran mereka dijangka memberi nilai tambah kepada skuad sekiranya terpilih secara rasmi.

“Musim pertama dalam saingan baharu bakal menyaksikan gandingan tenaga muda dan pengalaman apabila pasukan ini dibarisi campuran pemain dari skuad Liga Super, skuad Piala MFL B-23 serta pemain-pemain dari pasukan Piala Presiden dan Belia bagi memastikan kesinambungan pembangunan pemain Kedah dapat diteruskan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, turut difahamkan seorang pemain import yang pernah beraksi dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim lalu juga kini berada dalam radar Kedah FA bagi memperkuatkan pasukan berkenaan musim ini.

Melalui sesi latihan menentang GSA Perlis FC pada 7 Julai lalu ini juga turut kelihatan bersama skuad kendalian Victor Andrag ini ialah beberapa bekas pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) antaranya pemain bek kanan Rizal Ghazali, penyerang Aiman Afif dan juga Kamil Akmal.

sumber:- HM

Namun hingga setakat ini belum ada sebarang pengesahan muktamad berkenaan senarai barisan pemain Kedah FA dan dijangka satu pelancaran memperkenalkan pasukan bakal diadakan pada minggu ketiga bulan Julai ini.