SEREMBAN: Bekas pemain kebangsaan dan Penang FC, Muhammad Hadin Azman bakal menjadi senjata baharu buat skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024-2025.
Penyerang berpengalaman berusia 30 tahun itu disahkan menyertai skuad Hobin Jang Hobin musim ini.
“Hadin seorang pemain berpengalaman dan memiliki sembilan penampilan bersama pasukan kebangsaan dari 2016 hingga 2019 selain menjaringkan satu gol untuk Harimau Malaya.
“Dalam saingan musim lalu, Hadin mencatatkan empat jaringan dan tiga bantuan gol dalam 21 perlawanan bersama Penang FC.
“Selain beraksi sebagai penyerang, Hadin juga mempunyai kebolehan untuk bermain di posisi tengah dan sayap. Ini pastinya dapat membantu menambah kekuatan di bahagian tengah dan serangan pasukan,” kata jurucakap kelab itu hari ini.
Sementara itu, Hadin yang pernah beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), Felda United, Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC sebelum ini mengakui tertarik dengan perancangan pengurusan NSFC sekali gus mendorongnya menyertai pasukan berkenaan.
“Saya dipanggil oleh Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus dan beliau menerangkan mengenai visi dan misi pasukan musim ini.
“Saya tertarik dengan peranan yang beliau mahu saya lakukan bersama Negeri Sembilan,” katanya.
sumber:-BH
Hadin adalah pemain luar kedua yang menyertai NSFC selepas Hein Thet Aung yang dipinjamkan sekali lagi dari Selangor FC.