MUNICH: Perancis berharap kapten, Kylian Mbappe akan kembali menemui sentuhan penyudahnya sekali gus membuktikan statusnya sebagai pemain bertaraf bintang menjelang pertemuan menentang Sepanyol pada separuh akhir Euro 2024, awal pagi Rabu ini.
Pertembungan di Munich itu adalah perlawanan yang menjadi bualan dan acara besar terutamanya untuk Mbappe dalam kejohanan besar pertamanya sebagai kapten negaranya dan sebelum dia memulakan episod baharu dalam kerjayanya di Real Madrid.
Pada usia 25 tahun dan baru sahaja melengkapkan perpindahan impiannya bersama pemenang Liga Juara-Juara itu, Mbappe seharusnya berada di kemuncak prestasinya.
Bagaimanapun, dia yang memenangi Piala Dunia ketika remaja dan meledak hatrik pada final 2022 di Qatar dilihat gagal untuk beraksi pada tahap terbaiknya dalam saingan Euro kali ini.
Mbappe menyertai skuad Perancis selepas kempen yang sukar di Paris Saint-Germain yang menyaksikan masa bermainnya dikurangkan selepas disahkan menyertai Real.
Dia hanya menjaringkan satu gol menerusi penalti dalam saingan Euro kali ini dan mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan prestasinya ketika suku akhir menentang Portugal di Hamburg adalah yang terburuk dalam kerjayanya bagi perlawanan besar.
Mbappe dibawa keluar pada pertengahan masa tambahan dan dia kemudian mengakui berasa letih.
Rakan sepasukan Mbappe menegaskan mereka tidak bimbang dengan prestasi ditunjukkan kapten mereka itu.
“Saya tidak fikir dia melalui tempoh yang buruk. Dia mengharungi musim yang hebat.
sumber:-BH
“Jika dia tidak menjaringkan gol, kami perlu membantunya. Kejohanan ini belum berakhir. Selain hidungnya yang sedikit cedera, dia dalam keadaan baik,” kata Randal Kolo Muani yang beraksi bersama Mbappe di PSG musim lalu. – AFP