KUALA LUMPUR: Sentuhan penyerang sensasi skuad hoki lelaki kebangsaan, Faizal Saari tetap ditagih bagi membawa cabaran negara dalam kejohanan sepanjang tahun ini.
Ini selepas ketua jurulatih negara, Sarjit Singh memberi bayangan yang pemain berusia 33 tahun itu akan berada dalam senarai 30 pemain yang akan dipilih selepas berakhirnya sesi pemilihan membabitkan 46 pemain ketika ini.
Faizal tidak berada dalam sesi pemilihan sehingga esok kerana sudah mempunyai perancangan untuk beraksi di Liga Bangladesh bersama pasukan Mohammaden Sporting Club.
“Dia (Faizal) sudah ada perancangan, jadi saya tidak boleh mengganggunya. Namun, selepas berada dalam senarai 30 pemain, dia tidak boleh pergi lagi (ke Bangladesh).
“Dengan tahap permainan dimilikinya, pastinya tiada sesiapa yang tidak mahu mempertimbangkannya (terpilih dalam skuad kebangsaan),” katanya.
Menurut Sarjit, Faizal akan kembali ke Malaysia sekitar 10 April dan dia akan menyertai sesi latihan skuad negara pada 15 April.
Daripada 46 pemain ketika ini, Sarjit akan mengumumkan senarai 30 pemain terbaik pada 1 April.
Sarjit ketika ini dalam proses untuk membentuk semula skuad lelaki negara bagi menghadapi saingan Piala Azlan Shah dari 4 sehingga 11 Mei depan.
Skuad negara yang tampil selaku juara bertahan akan bersaing bersama Kanada, Jepun, New Zealand, Pakistan dan Korea Selatan.
sumber:-BH
Speedy Tigers kemudiannya akan beraksi di Piala Negara-Negara di Poland yang akan bermula 31 Mei sehingga 9 Jun depan.