sukan

Senyuman Tunku Ismail itu seolah memberi isyarat positif kepada peminat bola sepak negara

Kuala Lumpur: Wajah ceria dengan senyuman paling manis dikongsikan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di laman Facebook rasminya semalam menarik perhatian peminat bola sepak negara.

Senyuman itu nyata membawa pelbagai tafsiran dalam kalangan penyokong yang rata-rata mengharapkan satu keputusan positif diraih susulan isu penggantungan tujuh pemain warisan dan denda yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Jumaat lalu.

Menerusi perkongsian itu, Tunku Ismail dilihat ceria sambil tersenyum memakai kaca mata hitam dan mendengar muzik mengggunakan fon telinga (earphone).

Malah, pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut meninggalkan kapsyen ringkas menggambarkan satu lagi hari yang sibuk buatnya.

“Hanya satu lagi hari di pejabat,” tulisnya bersama tiga lagi keping gambar menikmati minuman, aksi bermain polo dan pemandangan pantai.

Sementara itu, menjengah di ruangan komen pada perkongsian yang sama menyaksikan ramai peminat mendoakan agar isu penggantungan itu dapat diselesaikan segera.

Menurut Izwat Syafiq, senyuman Tunku Ismail itu seolah isyarat bahawa isu berkenaan akan berakhir dengan baik.

“Ini petanda (senyuman) baik ini. Ampun Tuanku,” tulis Izwat Syafiq di ruangan komen gambar itu.

“Satu senyuman satu kegembiraan, semoga dipermudahkan segala urusan untuk Tuanku,” kata Atisha Kamaruzzaman.

Bagi Hairul Juhairi pula,”Senyuman Tuanku Yang Manis…ada manis-manis Tuanku. Hamba selaku wakil dari rakyat Malaysia menunggu khabar baik dari Tuanku,” kata Hairul.

“Kalau Tuanku senyum macam ini, lega rakyat jelata. Semoga ada perkhabaran gembira, ampun Tuanku,” ujar Major Faiz.

Redzuan Rsd pula berharap rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan beroleh kemenangan di ibu pejabat FIFA di Zurich, Switzerland.

“Semoga ada sinar harapan dari Zurich. Harap sangat kita dapat kemenangan lawan FIFA kali ini, kesian kat tujuh pemain itu,” kata Redzuan.

Untuk rekod, FAM sedang menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripada pihak FIFA sebelum badan induk bola sepak tempatan itu membuat sebarang rayuan.

Terdahulu, FAM dan tujuh pemain warisan babitkan Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Susulan itu, FAM dan pemain dikenakan denda selain penggantungan selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak kepada tujuh pemain itu.