MISI menamatkan kemarau 36 tahun pingat emas acara regu berpasukan Sukan Asia menuntut skuad sepak takraw negara tampil lebih agresif apabila berdepan juara bertahan Thailand pada aksi final edisi Asia Aichi-Nagoya 2026, esok.
Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun berkata, corak permainan lebih menyerang perlu diterapkan selepas mendapati anak buahnya terlalu berhati-hati ketika menewaskan Indonesia 2-1 pada aksi separuh akhir Paloma Mizuho Arena, hari ini.
Malaysia terlebih dahulu ketinggalan selepas regu pertama Muhammad Zulkifli Abd Razak, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Afifudin Razali tewas kepada gandingan Saiful Rijal, Yudha Aswinata dan Muhammad Hardiansyah Muliang 15-10, 13-15, 13-15.
Namun, regu kedua Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias kembali menyamakan kedudukan selepas menewaskan Jelki Ladada, Syamsul Akmal dan Andy Try Sandi Saputra 15-10, 15-6.
Regu ketiga Muhammad Zarif Marican Ibrahim, Amirul Zazwan Amir dan Muhammad Hafizul Hayazi Adnan kemudian memastikan kemenangan Malaysia selepas bangkit menewaskan Gelvin Usman, Muhammad Ubaidur Rohman dan Rizki Yusuf Djaina 11-15, 15-11, 15-13 dalam aksi penuh dramatik.
Ahmad Jais berkata, pendekatan bertahan semata-mata boleh memberi ruang kepada lawan mengawal permainan dan melancarkan serangan balas, justeru pemain perlu kembali kepada corak ‘attacking defensive’ seperti dipamerkan regu kedua ketika menentang Indonesia.
“Kita perlu bermain secara ‘attacking defensive’ kerana kalau terlalu bertahan, ia memberi kelebihan kepada pasukan lawan untuk melakukan pertahanan dan serangan balas. Itu antara perkara yang kita perlu tingkatkan untuk final esok,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan menentang Indonesia.
Mengulas aksi separuh akhir, Ahmad Jais mengakui kemenangan itu hadir hasil semangat juang tinggi pemain, namun masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki terutama dari segi konsistensi dan mengurangkan kesilapan mudah.
“Regu ketiga mungkin rezeki pasukan kita. Kita ketinggalan 10-5 dan 11-8 pada set kedua, tetapi kesungguhan pemain membolehkan kita menang. Namun set ketiga masih 50-50 dan ada beberapa elemen permainan yang perlu diperbaiki,” katanya.
Mengulas cabaran Thailand, Ahmad Jais berkata final adalah perlawanan berbeza dan pasukan yang mampu mempamerkan prestasi terbaik serta melakukan kesilapan paling minimum mempunyai peluang cerah untuk muncul juara.
“Thailand mahu mempertahankan kejuaraan, kita pula mahu mencipta kejayaan untuk Sukan Asia selepas 36 tahun. Pingat kejuaraan ada di tengah gelanggang. Siapa yang boleh mencapai prestasi lebih baik dan kurang melakukan kesilapan, dia ada peluang besar,” katanya.
Dia juga tidak menganggap Thailand berada pada tahap tidak boleh digugat walaupun pasukan itu memiliki reputasi besar dalam arena sepak takraw.
Katanya, prestasi sebenar hanya akan diketahui apabila kedua-dua pasukan turun beraksi kerana Thailand sendiri pernah berdepan kesukaran pada perlawanan awal.
Pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan regu berpasukan menyaksikan Thailand menewaskan Malaysia pada final Piala Raja Thai di Bangkok, Ogos lalu.
Bagaimanapun, skuad negara sebelum itu berjaya mencipta kemenangan ke atas musuh tradisi berkenaan ketika final Piala Dunia di Stadium Titiwangsa, Mei lalu.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memenangi emas acara regu berpasukan adalah pada Sukan Asia Beijing 1990 selepas menewaskan Thailand dalam aksi final.