sukan

Separuh akhir adalah sasaran utama kita – Nafuzi

KUALA LUMPUR: Layak ke separuh akhir menjadi sasaran pertama yang diletakkan pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun, Nafuzi Zain dalam kejohanan Piala ASEAN B-23 di Jakarta, Indonesia, bulan depan.

Nafuzi bagaimanapun menegaskan, pasukannya ketika ini lebih fokus kepada satu perlawanan demi satu perlawanan terutama aksi penting pada perlawanan pertama Kumpulan A menentang Filipina, 15 Julai ini.

Beliau turut mengakui tidak mendapat banyak maklumat mengenai pasukan Filipina, sekali gus perancangan rapi perlu dilakukan dalam usaha meraih tiga mata pertama pada kejohanan itu.

“Ini kejohanan pertama saya di peringkat antarabangsa selepas sebelum ini bersama pasukan kelab. Sudah pasti kelab dengan pasukan kebangsaan berbeza. Memang sasaran utama kita untuk ke final, tapi bagi situasi sekarang kita lebih fokus satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Perlawanan yang penting kita berdepan Filipina pada aksi pertama, selepas itu menentang Brunei dan cabaran yang sukar apabila kita menghadapi Indonesia dalam aksi terakhir kumpulan.

“Jadi kita meletakkan layak ke separuh akhir adalah sasaran utama kita, iaitu melepasi saingan peringkat kumpulan. Pada aksi separuh akhir itulah akan memberi ruang untuk kita ke final,” katanya.

Nafuzi berkata demikian pada sidang media pengumuman pemain B-23 yang mana bekas pengendali Kedah Darul Aman (KDA) dan Terengganu memanggil 30 pemain bagi kem latihan pusat yang akan bermula, Selasa ini.

Berdasarkan senarai itu, Nafuzi memanggil majoriti pemain dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor yang mana 12 pemain Harimau Selatan dan lapan pemain Gergasi Merah dalam senarai itu.

Malah, Nafuzi menyenaraikan beberapa pemain yang pernah bersama skuad senior kebangsaan termasuk Ubaidullah Syamsul Fazili, Fergus Tierney dan Haqimi Azim Rosli.

Justeru, beliau berharap gabungan pemain berpengalaman dengan pemain baharu dapat membentuk skuad yang terbaik dalam memastikan misi skuad B-23 tercapai di Jakarta.

sumber:- BH

“Saya harap dengan pengalaman mereka dan digabung bersama pemain baharu dapat membentuk persefahaman serta gandingan yang baik seterusnya memberi impak besar buat pasukan,” katanya.