sukan

setakat jam 5 petang, jumlah kutipan agak positif

SHAH ALAM: Tabung Solidariti Bersama Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) yang dilancarkan kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) malam tadi kini mengutip sumbangan sebanyak RM20,552.33 setakat jam 5 petang hari ini.

Perkara itu dikongsi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi menerusi kenyataan ringkas.

“Untuk makluman semua, jumlah sumbangan yang diterima untuk Tabung Solidariti Bersama Selangor FC bermula dari malam tadi sehingga jam 5 petang hari ini adalah sebanyak RM20,552.33.

“Terima kasih kepada semua penyumbang yang telah menzahirkan sokongan dan solidariti anda kepada pasukan Selangor FC.

“Kepada yang berhasrat untuk menyumbang RM1 sebagai tanda solidariti kepada pasukan Selangor FC, anda boleh scan pada kod QR yang dipaparkan,” katanya.

Semalam, MSNS melancarkan tabung solidariti itu dengan menyertakan kod QR bagi memudahkan sumbangan dilakukan.

Mohd Najwan berkata, hasil dari sumbangan ini kemudiannya akan diserahkan kepada Selangor FC bagi membantu mereka memperjuangkan keadilan sehingga ke peringkat tertinggi terhadap hukuman melampau dijatuhkan oleh Malaysian Football League (MFL).

“Semoga dengan inisiatif ini dapat menggerakkan penyertaan semua pihak yang berkongsi citra dan aspirasi untuk mengembalikan semula sukan bola sepak sebagai sukan yang memupuk keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya.