sukan

Setiap sen yang dibelanjakan ada dalam rekod – FAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) dalam menguruskan peruntukan sebanyak RM15 juta yang diterima daripada pihak kerajaan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya turut menghantar laporan setiap perbelanjaan seperti mana diminta kerajaan.

Beliau menjelaskan, badan induk itu menghantar penyata perbelanjaan kepada Kementerian Kewangan (MoF) setiap tiga bulan sekali.

“Pada masa sama, FAM menghantar penyata perbelanjaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) setiap bulan.

“KBS bertangunggjawab memantau perbelanjaan mengikut seperti apa yang diluluskan,” kata Noor Azman dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 September tahun lalu mengumumkan peruntukan RM15 juta bagi memperkasa pasukan bola sepak kebangsaan.

Anwar menjelaskan peruntukan berkenaan adalah komitmen daripada pihak kerajaan untuk kebajikan, latihan dan pengurusan skuad Harimau Malaya.

Selain itu, Noor Azman menjelaskan, setiap sen yang digunakan daripada peruntukan kerajaan itu dimasukkan dalam laporan perbelanjaan dan mengikut semua SOP kerajaan.

“Jadi kita tidak sewenang-wenangnya menggunakan peruntukan itu kerana apa yang dibelanjakan adalah untuk pasukan kebangsaan, bukannya persatuan,” katanya.