Shanghai Port tekad sekat JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI)

ISKANDAR PUTERI: Pengendali Shanghai Port FC, Kevin Muscat enggan meletak sasaran tinggi sebaliknya hanya mahu memfokus barisan pemainnya menidakkan hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta kemenangan apablla turun beraksi dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini, malam esok.

Jelas pengendali dari Australia itu, walaupun prestasi Shanghai Port dalam kancah Liga Super China (CSL) begitu membanggakan selepas muncul juara namun pada saingan ACLE tampak tidak memuaskan apabila masih gagal meraih sebarang kemenangan.

“Memang agak ketara persembahan kami di saingan liga tempatan dan peringkat Asia, walaupun kami sudah melakukan perubahan tapi masih belum mampu meraih keputusan positif dan mungkin aksi menentang JDT nasib kami akan berubah.

“Kami tetap akan berusaha melakukan yang terbaik bagi memenangi perlawanan ini dan ia merupakan perlawanan yang kami perlukan mata maksimum dan kami akan melihat cabaran ini secara positif,” katanya pada sidang akhbar menjelang perlawanan.

“Kami tahu corak tekanan tinggi yang di amalkan skuad Harimau Selatan itu dan selepas melakukan analisis menyeluruh terhadap pasukan itu, saya boleh sifatkan JDT sebagai sebuah pasukan yang stabil dan konsisten dalam saingan ACLE ketika ini,” katanya.

Mengulas mengenai pemain sensasi JDT, Arif Aiman Hanapi tidak diturunkan pada aksi berkenaan tatkala pemain sayap kanan Harimau Selatan mencipta dua gol pada pertembungan musin lalu, Muscat menegaskan barisan pemainnya tetap perlu berwaspada dengan ancaman daripada jentera serangan JDT.

“Arif pemain yang sangat baik, tetapi mungkin bukan satu-satunya pemain berkualiti yang tidak dapat bermain, sebaliknya JDT tetap mempunyai ramai pemain yang bagus. Semua cabaran ini kami lihat sebagai peluang untuk pasukan beraksi sebaik mungkin,” katanya.