GENEVA: Xherdan Shaqiri mengumumkan persaraannya daripada bola sepak antarabangsa awal pagi tadi selepas beraksi 125 perlawanan bersama Switzerland dan muncul satu-satunya pemain yang menjaringkan gol dalam setiap satu daripada tiga Piala Dunia dan Kejuaraan Eropah.
Shaqiri, 32, yang kini memperagakan aksinya bersama Chicago Fire di Amerika Syarikat, adalah pemain kedua terbanyak beraksi buat Switzerland di belakang rakan sepasukan Granit Xhaka yang bermain 130 kali.
Bekas pemain sayap Bayern Munich dan Liverpool itu melakukan penampilan sulung antarabangsanya pada Mac 2010 pada usia 18 tahun.
Dia mewakili negaranya dalam empat Piala Dunia dan tiga Kejuaraan Eropah.
Dalam perlawanan terakhirnya bersama Nati, Shaqiri menjaringkan gol ketika penentuan sepakan penalti apabila England mengalahkan Switzerland 5-3 menerusi penalti susulan seri 1-1 pada suku akhir Euro 2024 di Duesseldorf pada 6 Julai lalu.
“Tujuh kejohanan, banyak gol, 14 tahun bersama pasukan kebangsaan Switzerland dan detik yang tidak boleh dilupakan. Ia masanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan kebangsaan. Memori hebat terpahat dan saya ucapkan kepada anda semua: terima kasih!”, tulisnya dalam laman sosial.
Shaqiri bersara sebagai penjaring gol keempat terbanyak Switzerland dengan 32 gol, di belakang Alexander Frei dengan 42 serta Kubilay Turkyilmaz dan Max Abegglen masing-masing 34.
Gol terakhirnya di peringkat antarabangsa hadir pada Euro 2024, gol penyamaan dari luar kotak penalti ketika Switzerland seri 1-1 dengan Scotland di peringkat kumpulan.
Jaringan itu bermakna dia satu-satunya pemain yang menyumbat gol dalam tiga Piala Dunia terakhir dan tiga Euro terakhir.
Dilahirkan pada 1991 di Kosovo, ketika itu sebahagian daripada Yugoslavia, keluarganya berpindah ke Switzerland pada 1992.
SUMBER:-BH
Di sebalik kejayaan di peringkat antarabangsa, Shaqiri memenangi Liga Juara-Juara dan Piala Dunia Kelab bersama kedua-dua Bayern Munich dan Liverpool, termasuk tiga kejuaraan Bundesliga dan satu Liga Perdana Inggeris. – AFP