Pendekatan perlawanan demi perlawanan menjadi pilihan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai bagi mengharungi musim 2026 dengan tumpuan utama diberikan kepada pemulihan fizikal dan kestabilan mental bagi memastikan prestasi kekal konsisten sepanjang saingan.
Shevon, 32, mengakui musim baharu bukanlah satu permulaan ‘segar’ buat mereka selepas mengharungi kalendar kejohanan yang padat sepanjang tahun lalu termasuk menyertai hampir 22 kejohanan tanpa rehat mencukupi sekali gus menjejaskan proses pemulihan dan tahap kecergasan.
Menurutnya, cabaran utama pada awal musim bukan hanya tertumpu kepada persaingan di gelanggang sebaliknya keupayaan tubuh untuk pulih sepenuhnya, terutama bagi pemain yang semakin berusia seperti mereka yang tentunya memerlukan masa pemulihan lebih panjang.
“Sebenarnya ia adalah musim yang sangat panjang. Walaupun sekarang permulaan 2026, tetapi kami melalui tahun yang sangat panjang pada 2025.
“Kami menyertai hampir 22 kejohanan secara keseluruhan. Jadi saya tidak akan katakan ini adalah permulaan segar kerana kami sudah bermain sepanjang tahun sehingga hujung tahun dan hampir tidak berehat.
“Kami sertai dua kejohanan besar (Terbuka Malaysia, Super 1000 dan Terbuka India, Super 750), ia agak meletihkan bagi pemain terutama pemain seperti kami yang berusia, kami lebih lambat untuk pulih.
“Untuk itu, kami perlu menjadi lebih bijak dan fokus kepada pemulihan. Tiada sasaran yang besar buat masa ini dan untuk awal tahun kerana semua orang bermain pada tahap maksimum.
“Jadi kami akan bermain perlawanan demi perlawanan, fokus pada pemulihan diri sendiri dan melakukan yang terbaik di gelanggang setiap kali beraksi,” kata Shevon.
Shevon bersama gandingannya Soon Huat, 35, dijadual menyertai Masters Indonesia di Istora Senayan bermula esok dengan bertemu wakil tuan rumah, Adnan Maulana-Indah Cahya Sari Jamil di pusingan pertama.