sukan

Shevon-Soon Huat timba pengalaman berharga di Terbuka Jepun

Kuala Lumpur: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie bertekad menjadikan pengalaman di Terbuka Jepun untuk tampil lebih bertenaga di Terbuka China di Changzhou, bermula esok.

Sekalipun langkah mereka di Tokyo terhenti di tangan beregu China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin yang kemudian bergelar juara, Shevon menyifatkan pengalaman berdepan lawan berkelas tinggi seperti beregu kedua dunia itu amat bernilai meningkatkan kualiti permainan.

“Sudah tentu, layak ke suku akhir di Jepun boleh dianggap satu bonus buat kami.

“Jika dilihat semula, kami tidak banyak mencatatkan keputusan cemerlang di sini sebelum ini dan ini adalah pencapaian terbaik setakat ini,” kata Shevon.

Mengulas kekalahan kepada Zhen Bang-Ya Xin, Soon Huat-Shevon yang menghuni ranking enam dunia mengakui lawan itu menghadirkan ujian cukup mencabar khususnya daripada segi kepantasan dan intensiti permainan.

“Dari segi kelajuan, mereka jelas memiliki kelebihan berbanding kami. Kami perlu lebih cepat menyesuaikan diri dengan tempo permainan dan mengawal pemilihan pukulan.

“Bila berdepan pasangan seperti mereka, bukan saja fizikal, malah aspek mental perlu bersedia,” kata Shevon.

sumber:- HM

Di Terbuka China yang berstatus Jelajah Dunia Super 1000 menawarkan hadiah keseluruhan lumayan AS$2 juta (RM8.48 juta), Soon Huat-Shevon dijadual berdepan pasangan Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu di pusingan pertama.