Kuala Lumpur: Kejayaan penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva, mencatat nama selaku penjaring terbanyak Liga Super sepanjang zaman dengan 109 gol dilihat akan kekal dalam tempoh lebih panjang berbanding rekod sebelum ini milik Indra Putra Mahayuddin, 106 gol.
Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin melihat prestasi Bergson sememangnya berada di kelas tersendiri dan pemain itu mampu melebarkan lagi jumlah jaringannya kerana masih aktif beraksi bersama JDT.
Menurutnya, saingan Liga Super baru memasuki perlawanan kelima dan perjalanan masih lagi panjang biarpun pemain kelahiran Brazil itu jarang diturunkan dalam kesebelasan utama, namun naluri memburu jaringan masih tinggi.
“Saya rasa untuk rekod ini, dia akan kekal lebih lama daripada rekod Indra Putra sebab saya tak nampak import lain yang boleh mengejar Bergson dalam masa sekarang ini. Kita belum nampak lagi. Tapi ke depan kita tak pasti, cuma saya yakin rekod ini agak sukar untuk dipecahkan.
“Kalau ikutkan, Bergson berpeluang untuk memecah rekod itu lebih awal tetapi musim ini posisinya lebih diberikan kepada Jairo da Silva sebelum dia dimasukkan selaku pemain gantian,” katanya kepada Arena Metro.
Namun, Sulaiman berpendapat lebih manis sekiranya pemain tempatan yang berjaya memintas rekod Indra Putra dan itu mungkin agak sukar dilakukan pada masa kini.
Bagaimanapun, beliau melihat bintang muda JDT, Arif Aiman Hanapi antara calon terbaik untuk merampas kedudukan Indra Putra sekiranya terus konsisten menjaringkan gol setiap musim.
“Kita pastinya berbangga sebab pemegang rekod asal adalah pemain tempatan. Saya lagi suka kalau rekod Indra Putra ini dipecahkan oleh pemain tempatan juga. Tapi kena tunggu siapa pemain tempatan yang akan memecahkan rekod ini.
“Yang paling dekat untuk pecahkan rekod ini kalau konsisten dan terus menjaringkan gol adalah Arif Aiman. Kalau setiap musim dia boleh kumpul 10 hingga 20 gol, dia boleh pecah rekod itu.
“Prestasi badannya boleh bertahan lagi 10 hingga 15 tahun. Sekarang baru 23. Jadi mungkin minimum 10 tahun, maksimum 15 tahun. Kalau kita ambil kira setiap musim dia skor 10 gol, bila-bila masa dia boleh pecah rekod Indra,” katanya.
Terdahulu, Bergson meledak hatrik ketika membantu JDT membelasah Sabah FC 8-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam kelmarin.
Meskipun Bergson kini menjadi penjaring terbanyak Liga Super sepanjang zaman, Indra Putra tetap kekal sebagai wakil pemain tempatan dalam senarai itu untuk beberapa tahun lagi.