sukan

Sikap biadab penyokong Indonesia bakal dihukum

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak khususnya mereka yang biadab mencemarkan maruah negara.

Ia termasuk isu mengangkat bendera Malaysia secara terbalik yang didakwa dilakukan segelintir penyokong Indonesia ketika aksi Piala AFF Bawah 23 Tahun (B-23) antara Malaysia dan skuad Garuda Muda di Stadium Gelora Bung Karno, Isnin lalu.

Amaran berkenaan diberikan Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub yang mengakui akan berhubung dengan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) bagi mendapatkan pandangan sebelum tindakan lanjut diambil.

“Ya, kami berhubung dengan AFF dan AFC. Kami tidak mengambil ringan isu ini dan tidak menyokong sebarang perbuatan sedemikian,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Liga Wanita Nasional (LWN) 2025, di sini, hari ini.

Hadir sama Hadir sama, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman serta Exco FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob.

Semalam, Arena Metro melaporkan tindakan biadab segelintir penyokong Indonesia yang mengangkat bendera Malaysia secara terbalik adalah perbuatan yang tidak boleh dimaafkan dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) perlu mengambil tindakan tegas terhadap perkara itu.

Menurut peguam berpengalaman dalam bidang sukan, Mohamad Suhail Rahimi Abdul Razak, kesalahan itu perlu dipandang serius dan FIFA boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) di atas tindakan biadab penyokong tuan rumah.

Mengulas lanjut, Joehari turut mengesahkan pihaknya akan merujuk barisan peguam bagi mengheret beberapa individu di luar negara yang terus menerus mempersoal serta menabur fitnah tentang status pemain warisan skuad Harimau Malaya.

“Ya, kita akan rujuk kepada peguam FAM untuk melihat kes ini,” katanya.

sumber:- HM

Terdahulu, seorang pundit dari Indonesia mendakwa FAM bakal dikenakan denda oleh FIFA kerana dikatakan membawa pemain luar negara yang tidak mempunyai pertalian darah dengan Malaysia.