sukan

Sikap tidak menyerah kalah bawa PDRM FC ke final – Maniam

ALOR SETAR: Ketua Jurulatih PDRM FC, P Maniam menyifatkan kejayaan melayakkan diri dua tahun berturut-turut ke pentas final Piala Cabaran adalah hasil daripada sikap tidak mudah menyerah kalah dan berjuang hingga saat akhir yang ada pada setiap pemainnya.

Pada aksi semalam, PDRM FC berjaya melakar kejayaan ke pentas final saingan berkenaan selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) melalui penentuan sepakan penalti (5-4) selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 (agregat 4-4) pada saingan separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman.

Menurut Maniam, kejayaan ditempa itu tidak mudah buat skuadnya yang terpaksa menempuh tentangan cukup hebat oleh pasukan Kedah yang dianggap beraksi dengan luar biasa meskipun berdepan isu dalaman dan kewangan pada ketika ini.

“Kita boleh lihat, kami diberi tentangan cukup hebat oleh pasukan Kedah yang bagi saya mereka beraksi dengan luar biasa. Walaupun mereka mengalami masalah gaji, tetapi cara mereka beraksi begitu komited dengan aksi yang terbaik.

“Namun saya bersyukur kerana kami dapat sekali lagi ke peringkat final musim ini berbekalkan semangat tidak mudah menyerah kalah dan berjaya bangkit mengubah keadaan di separuh masa kedua dan seterusnya berjaya menyamakan kedudukan di saat akhir babak kedua.

“Kalau tengok kebanyakan perlawanan lalu, kami kerap bangkit pada saat akhir dan ada masa kami berjaya memenangi perlawanan. Ini satu kekuatan melalui kerjasama yang ada pada kami yang tidak mudah menyerah kalah hingga saat akhir,” katanya selepas perlawanan semalam.

Maniam turut berkata, bagi menghadapi aksi final kali ini yang disifatkan cukup mencabar berbanding final musim lalu, skuadnya perlu lebih bersedia dalam menghadapi cabaran berkenaan jika ingin mengulanginya pada musim ini.

“Memasuki peringkat final sudah dikira baik buat kami kerana lebih banyak pasukan yang bagus memberi cabaran pada tahun ini dan saya jangkakan pemain akan lebih bersemangat menghadapinya walaupun tekanan kali ini lebih tinggi.

sumber:-BH

“Sama ada berdepan Selangor FC atau pun Penang FC, ianya pasti aksi yang cukup mencabar dan kami akan membuat persiapan seterusnya dengan meneliti corak permainan kedua-dua pasukan itu pada aksi separuh akhir kedua yang akan berlangsung esok (hari ini),” katanya.