sukan

Sistem baharu bakal beri kelebihan buat pemain China, Eropah

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto mengakui sistem kiraan 15 mata yang dicadangkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dijangka memberi kelebihan kepada pemain dari China dan Eropah.

Menurutnya, format baharu yang lebih singkat itu akan menjadikan perlawanan terlalu pantas serta menuntut tahap fokus tinggi sejak mata pertama.

Katanya, pemain Eropah mungkin antara yang paling mendapat manfaat berdasarkan corak latihan dan gaya permainan mereka.

“Saya rasa yang banyak bermanfaat mungkin pemain Eropah kerana cara permainan dan latihan mereka lebih sesuai untuk sistem ini.

“Namun, China pun saya rasa lebih senang juga kerana mereka laju, cepat dan ramai pemain muda,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.

Semalam, BWF memaklumkan Majlis BWF bersetuju membawa cadangan penggunaan sistem 15 mata (tiga set) untuk diundi pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu di Horsens, Denmark pada 25 April ini.

Mengulas lanjut, jurulatih dari Indonesia itu berkata sistem berkenaan lebih memihak kepada pemain yang agresif dan mampu mengurangkan kesilapan dalam tempoh singkat.

“Yang pasti saya rasa pemain agresif. Mungkin pemain senior pun boleh tahan kerana 15 mata kurang penat. Jadi lebih kepada fokus dan kurang kesilapan,” katanya.

Nova turut melihat pasangan beregu campuran negara seperti Chen Tang Jie dan Hoo Pang Ron berpotensi menyesuaikan diri dengan baik sekiranya sistem itu diperkenalkan.

“Untuk pemain saya sendiri, mungkin Tang Jie dengan Pang Ron, saya rasa okey 15 mata kerana gaya permainan mereka menyerang. Saya rasa lebih senang,” katanya.

Sementara itu, juara dunia beregu campuran, Toh Ee Wei sedia menerima sebarang perubahan dan akan cuba menyesuaikan diri sekiranya sistem 15 mata diperkenalkan.

Katanya, sebagai pemain profesional, menjadi tanggungjawab mereka untuk sentiasa bersedia menghadapi apa sahaja keputusan yang dibuat badan induk dunia.

“Saya tidak mahu komen banyak. Kalau mereka nak berapa mata sekalipun, kita sebagai pemain kena terima dan kena sesuaikan diri.

“Lagipun, kita memang ada cuba bermain sistem 15 mata ini ketika waktu latihan ,” katanya.