sukan

Sivasangari menggegarkan sukan skuasy

KEKAL tenang ketika berdepan cabaran getir menjadi ramuan kejayaan luar biasa pemain skuasy negara S Sivasangari yang muncul juara edisi sulung Kejohanan, Isnin lepas.

Pemain ranking ke-13 dunia itu menggegarkan sukan skuasy apabila menyingkirkan pemain ranking kedua dunia Hania El Hammamy dari Mesir 11-9, 5-11, 13-11, 12-14, 11-8 pada aksi final di Alexandra Palace, London.

Juara Sukan Asia 2022 itu mengaitkan kejayaan menjuarai Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) bertaraf emas tersebut dengan sikap tenang serta ‘menikmati permainan’ tanpa tunduk kepada tekanan.

“Saya rasa saya bermain skuasy terbaik apabila saya tenang, jadi saya harap dapat meneruskan prestasi dan mentaliti ini dalam kejohanan akan datang.

“Saya selalu ingin mencabar pemain-pemain terbaik dunia dan cuba mengalahkan mereka, jadi untuk melakukannya dalam kejohanan ini sememangnya mengagumkan,” katanya.

Pada kejohanan itu Sivasangari menyingkirkan pemain nombor satu dunia Nour El Sherbini dari Mesir 11-9, 11-9 di peringkat suku akhir sebelum mencipta satu lagi kejutan menewaskan pemain ranking keempat dunia Nele Gilis 10-12, 11-7, 11-8, 10-12, 11-9 pada aksi separuh akhir.

Kejayaan itu membolehkan Sivasangari membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$17,598 (RM83,141).

sumber:- SH

Pencapaian luar biasa pada Kejohanan Skuasy Klasik London itu menjadikan Sivasangari sebagai pemain Malaysia pertama meraih gelaran juara Jelajah Dunia PSA bertaraf emas sejak kemenangan legenda skuasy negara Datuk Nicol David dalam Kejohanan Terbuka Hong Kong 2015.