sukan

skuad (B-23) negara tidak lagi menjadi ‘anak kecil’

KUALA LUMPUR: Pemain skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara kini tidak lagi menjadi ‘anak kecil’ selepas penyerangnya, Luqman Hakim Shamsudin percaya barisan pemain Harimau Muda menjadi lebih matang dan mampu memberi cabaran pada Piala Asia B-23.

Pemain pasukan divisyen tiga Liga Jepun, YSCC Yokohama itu berkata, dia melihat prestasi rakan sepasukannya semakin menunjukkan perkembangan yang positif meskipun mengakui ada lagi penambahbaikan perlu dilakukan menjelang sepak mula di Qatar nanti.

“Kita ambil selangkah demi selangkah dan saya lihat prestasi semua pemain berada dalam keadaan yang baik. Saya yakin pemain pasukan ini sudah bertambah matang daripada peringkat sebelum ini.

“Kalau sebelum ini, belum dewasa tetapi sekarang sudah dewasa dan tahu apa yang perlu dilakukan. Dalam pasukan ini, secara matang itu sudah ke peringkat dewasa bermain bola.

“Bagi saya, semuanya memuaskan selepas beberapa siri perlawanan persahabatan dan kita pun ada beberapa minggu lagi untuk mengadakan persiapan sebelum Piala Asia B-23,” kata Luqman pada sesi latihan skuad B-23, kelmarin.

Sebagai rekod, Luqman adalah satu daripada dua pemain dari luar negara yang dipanggil menyertai kem latihan skuad B-23 sebagai persiapan ke Piala Asia B-23 selain pemain Waldhof Mannheim, Annil Vigneswaran.

Dalam perkembangan sama, pemain berusia 22 tahun itu menegaskan status sebagai pemain yang beraksi di luar negara bukanlah satu jaminan untuk dia mendapat laluan mudah dalam skuad B-23 negara.

Sebaliknya, dia bertekad untuk memberikan yang terbaik dalam merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad bimbingan Juan Torres Garrido itu.

sumber:-BH

“(Persaingan) tidak mudah kerana semua pemain memberikan prestasi terbaik. Ia bukanlah satu kedudukan yang senang untuk saya. Sebagai pemain, saya perlu merebut tempat saya,” katanya.