sukan

Skuad B-23 tekad sasar pingat sukan SEA Thailand

Kuala Lumpur: Kegagalan di Bangkok tidak sesekali melemahkan semangat skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk memburu pingat di Sukan SEA, Disember ini.

Walaupun Malaysia menutup kempen Kumpulan F kelayakan Piala Asia B-23 2026 baru-baru ini dengan kekalahan 1-2 kepada tuan rumah Thailand, ketua jurulatih Nafuzi Zain menegaskan pasukannya kini lebih bersedia untuk cabaran lebih besar di rantau ini.

“Kalau dilihat dari perlawanan pertama hingga terakhir, kita jelas semakin baik. Malah ketika bertemu Thailand, pemain memberi tentangan hebat walaupun padang berat selepas hujan. Saya bangga dengan semangat mereka,” katanya.

Nafuzi menegaskan skuad muda negara tidak ketinggalan jauh berbanding gergasi Asia Tenggara seperti Thailand dan Indonesia, malah mempunyai kelebihan dalam beberapa aspek permainan.

“Jurang permainan tidak besar. Malah ada aspek permainan kita lebih baik. Bezanya hanya pada individu dan ketenangan menyudahkan peluang. Itu yang kita perlu perkemaskan,” katanya.

Malah, beliau percaya kegagalan di Bangkok akan menjadi pengalaman berharga buat pemain muda negara untuk tampil lebih matang di pentas antarabangsa.

“Kita mencipta banyak peluang, bahkan berpeluang menamatkan permainan lebih awal. Tapi peluang terlepas dan lawan menghukum kesilapan kita. Itu pengajaran besar untuk pemain muda di pentas antarabangsa,” katanya.

Walaupun kecewa tidak dapat mara lebih jauh, Nafuzi menegaskan moral pemain tidak boleh jatuh kerana hala tuju utama mereka kini ialah Sukan SEA.

“Kalau kita bermain buruk, mungkin kekecewaan itu mudah diterima. Tapi bila kita bermain baik, lawan berkualiti pun kita lawan habis-habisan, itu yang buat pemain rasa mereka sepatutnya layak. Walaupun begitu, saya lihat mereka belajar sesuatu yang penting,” katanya.

Mengulas peluang pasukan di temasya dwitahunan itu, Nafuzi percaya skuad B-23 mampu mencipta sesuatu jika fokus dan keyakinan dipertingkatkan.

“Kita kena percaya. Dengan perancangan baik, keyakinan tinggi, serta usaha keras, tidak mustahil kita mampu raih kejayaan. Pemain pun sudah mula sedar mereka sebenarnya setaraf dengan pasukan terbaik ASEAN,” katanya.

Bagi Nafuzi, mesej paling penting buat anak buahnya ialah kegagalan di Bangkok bukan noktah, sebaliknya titik mula untuk bangkit lebih garang di Sukan SEA.