KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur (KL) City FC dikatakan bakal turun menentang Kuching City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam ini dengan skuad tidak lengkap.
Menurut sumber, skuad City Boys dipercayai hanya akan beraksi dengan 10 pemain sahaja selepas dua lagi pemain yang berada dalam pasukan berkenaan tidak cergas.
Situasi itu bakal memberi tamparan hebat buat skuad kendalian Dollah Salleh apatah lagi ketika mereka terpaksa berdepan naib juara Liga Super dan Piala Malaysia musim lalu.
“Pasukan hanya akan beraksi dengan 10 pemain sahaja, dua lagi pemain tidak cergas. KL City terpaksa perlu teruskan walaupun tanpa skuad lengkap,” kata sumber itu kepada BH Sukan.
KL City ketika ini berdepan krisis tidak cukup pemain apabila tidak dapat mendaftarkan pemain baharu kerana sekatan perpindahan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) walaupun kelab itu dilaporkan sudah menyelesaikan isu tunggakan gaji lama bekas pemain dan pegawai pasukan.
Lebih malang apabila beberapa pemain mereka sebelum ini dilaporkan dijangkiti influenza yang menyaksikan aksi pertama Liga Super berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu lalu dibatalkan pada saat akhir.
Susulan daripada itu, MFL dalam kenyataan, semalam, mengumumkan hukuman denda RM50,000 terhadap KL City serta dikehendaki membayar semua ganti rugi dan kos berkaitan yang diputuskan oleh MFL, manakala NSFC diberikan kemenangan percuma.
Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas meneliti semua dokumen, laporan dan maklumat yang dikemukakan pihak berkaitan, termasuk laporan perubatan daripada hospital kerajaan bertarikh 24 Ogos 2026 yang dikemukakan oleh KL City FC.
Ahli Lembaga Pengarah MFL mendapati KL City gagal menguruskan urusan pendaftaran pemain lebih awal hingga menyebabkan gagal menyediakan pasukan lengkap untuk beraksi menentang NSFC.
Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu berkata, ia berikutan hasil semakan menerusi sistem MyPAS, Sabtu lalu, mereka mendapati KL City hanya mendaftarkan 12 pemain sahaja iaitu 11 pemain dan seorang penjaga gol.
MFL dalam kenyataan sama turut memaklumkan Ahli Lembaga Pengarah menolak permohonan KL City untuk menangguhkan perlawanan menentang Kuching City dan aksi berkenaan kekal dilangsungkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Sekiranya KL City tidak beraksi pada perlawanan itu, maka kemenangan 3-0 serta tiga mata akan diberikan kepada Kuching City FC selain pasukan tuan rumah turut bakal dikenakan hukuman denda RM50,000.