sukan

skuad Harimau Muda tumbang kepada China

NASIB tidak menyebelahi skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara.

Itulah yang boleh disimpulkan berlaku kepada skuad Harimau Muda kendalian Juan Torres Garrido selepas tumbang 1-2 kepada China pada aksi persahabatan tertutup di Universiti Qatar, Doha pada Khamis.

China memimpin separuh masa pertama menerusi Aifeierding Aisikaer yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-26 sebelum anak buah Garrido bangkit mengikat kedudukan menerusi Fergus Tierney pada minit ke-61.

Tuah sekali lagi memihak China apabila dihadiahkan sepakan penalti yang menyaksikan Aisikaer tenang menyumbat gol peribadi keduanya pada minit ke-85 untuk mengesahkan kemenangan.

Ini kekalahan kedua dicatat skuad Garrido dalam tiga aksi persahabatan bertemu skuad B-23 China sejak tahun lalu selepas menang 1-0 dan tewas 1-2 dalam pertembungan di Shanghai, Disember lalu.

Sebagai rekod, Harimau Muda yang berada dalam rangka persiapan menghadapi saingan Piala Asia B-23 di Qatar dari 15 April sehingga 3 Mei ini, akan bermain aksi pemanas badan terakhir menentang tuan rumah dalam satu lagi aksi persahabatan tertutup, Ahad ini.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir dan berpeluang meneruskan cabaran merebut tiga slot automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024.

sumber:-SH

Sementara itu, pasukan keempat terbaik temasya berkenaan akan bermain perlawanan play-off bertemu Guinea di Paris Mei ini.