sukan

Skuad ‘senior’ perlu tebus maruah

KUALA LUMPUR: Pusingan kelayakan Piala Asia 2027 yang akan diharungi skuad Harimau Malaya bermula tahun depan disifatkan sebagai medan terbaik untuk menebus maruah bola sepak negara susulan kegagalan skuad ‘ubi muda’ negara mengesahkan slot ke Piala Asia bagi peringkat usia masing-masing.

Skuad Bawah 17 tahun (B-17) negara dan skuad Bawah 20 tahun (B-20) memperaga aksi hambar pada pusingan kelayakan Piala Asia yang menyaksikan impian mereka untuk beraksi di Piala Asia pada tahun depan berkecai.

Kedua-dua skuad ‘ubi muda’ negara gagal memperagakan persembahan memberangsangkan yang menyaksikan skuad B-16 menamatkan kempen kelayakan di Laos di tangga kedua dengan satu mata sementara skuad B-20 berada di tangga keempat pada aksi di Tajikistan.

Mengulas situasi itu, pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim melihat skuad Harimau Malaya yang ditunjangi pemain senior perlu memperagakan aksi yang positif pada pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 bagi mengubat ‘kedukaan’ bola sepak negara.

Tegasnya, kejayaan skuad senior kebangsaan mengesahkan slot ke pusingan akhir Piala Asia 2027 sudah pasti memberikan perkembangan positif sekali gus membalas kekecewaan selepas gagal mendapat tempat secara merit apabila kandas di pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 sebelum ini.

“Kita tiada pilihan lain, skuad senior haruslah menampilkan permainan berkualiti untuk mendapat keputusan positif bagi menebus maruah kita yang sudah tercalar ekoran kegagalan dua pasukan muda kita.

“Barisan kejurulatihan perlu memperhalusi kelemahan yang sudah dikenalpasti dan dianalisis pada aksi persahabatan sebelum ini untuk diperbaiki sebelum aksi penting itu bermula.

“Ketua jurulatih haruslah memahami kemampuan pemain yang dipilih dan pemain yang berupaya menangani kemampuan taktikal serta strategi pihak lawan di peringkat ini selepas kita mengetahui pasukan lawan yang akan kita hadapi.

“Pasukan kejurulatihan harus memahami kemampuan pihak lawan untuk memastikan pasukan bersedia dari segi mental, fizikal dan taktikal dalam mengharungi perlawanan nanti,” katanya.

Sebagai rekod, Zulakbal ketika ini berada di Indonesia selepas dijemput sebagai Profesor Pelawat di Fakultas Ilmu Keolahragaan Universiti Negeri Padang (UNP) dan juga panel Persidangan Antarabangsa Membabitkan Psikologi dan Isu Kesihatan (ICOPHI) di UNP.

Dalam masa sama, Zulakbal melontarkan keyakinan bahawa barisan pemain negara pasti akan menampilkan persembahan terbaik mengikut arahan jurulatih demi mencatat kemenangan.

“Soal kecergasan tidak akan menjadi masalah kerana pemain ini sentiasa beraksi dalam kancah tempatan selain pemain kebangsaan disiapkan untuk pertembungan di peringkat antarabangsa menerusi aksi persahabatan.

sumber:-BH

“Kemampuan jurulatih mengatur strategi juga menjadi titik perubahan dan saya yakin barisan kejurulatihan mampu dan sudah bersedia untuk perlawanan akan datang kerana hanya pasukan ini mampu mengembalikan kepercayaan peminat bola sepak tanah air,” katanya.