KUANTAN: Di sebalik kemenangan besar 5-1 ke atas PDRM FC kelmarin, Sri Pahang FC begitupun bimbang dengan kecederaan yang dialami pemain import, Stefano Brundo.
Pengendalinya, Fandi Ahmad berkata, kecederaan kaki kanan dialami pemain Argentina itu seakan memerlukan tempoh rehat panjang ketika skuad Tok Gajah bakal bertandang ke Stadium Darul Aman, Jumaat ini.
“Memang kami gembira dengan kemenangan kedua dicapai musim ini tetapi saya agak bimbang dengan kecederaan Brundo yang terpaksa dikeluarkan pada babak kedua perlawanan.
“Mudah-mudahan kecederaan yang dialami Brundo tidak serius seperti dijangkakan kerana dia antara nadi utama buat skuad Tok Gajah musim ini,” kata legenda bola sepak Singapura itu.
Pada perlawanan kelmarin, dua daripada lima gol itu yang dijaringkan Brundo membantu skuad Tok gajah mencatat kemenangan kedua musim ini.
Dalam pada itu, Fandi gembira dengan persembahan menyakinkan dipersembahkan penyerang import dari Liberia, Kpah Sherman yang menjaringkan dua gol pada perlawanan itu.
Katanya, Sherman sudah mula menemui sentuhannya dan diharapkan prestasi lebih padu yang dipersembahkan pada perlawanan akan datang.
“Sentuhan Sherman mula berhasil dan saya serta barisan kejurulatihan serta semua pemain gembira dengan perkembangan positif ini,” katanya.
sumber:-BH
Selepas 10 perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan ketujuh liga iaitu melonjak dua kedudukan iaitu di kedudukan kesembilan sebelum ini.